M’sia kekal destinasi pelaburan menarik

M’sia kekal destinasi pelaburan menarik

KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Malaysia kekal sebagai pasaran pelaburan menarik dalam kalangan rakan ASEAN dengan pegangan asing bon kerajaan ketika ini mencecah paras tertinggi sebanyak 51 peratus, kata Affin Hwang Asset Management Bhd.

Malah, peluang pelaburan tetap wujud biarpun dalam ketidaktentuan pasaran kewangan global yang berpanjangan, kata Ketua Pegawai Pelaburannya, David Ng.

Ini termasuk keputusan pungutan suara Britain untuk keluar daripada blok Kesatuan Eropah (EU) serta langkah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat mengekalkan dasar kadar faedah yang sebaliknya menguntungkan rantau Asia apabila pelabur mencari peluang mendapatkan pulangan lebih tinggi.

“Bon atau Sekuriti Kerajaan Malaysia selama 10 tahun memberi pulangan sebanyak 3.5 peratus. Biarpun ini bukan angka yang tinggi, namun dalam persekitaran dunia yang mana 40 peratus bon pasaran negara maju menawarkan kadar faedah negatif, apa yang kita tawarkan sememangnya amat menarik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat Unjuran Pasaran Global untuk separuh kedua 2016, di sini, hari ini.

Ng berkata, biarpun hasil simpanan tetap dan bon menarik, namun prestasi ekuiti Malaysia tidak sebaik yang ditawarkan di negara ASEAN lain seperti Indonesia, Thailand dan Filipina.

Pasaran ekuiti itu menyaksikan pengaliran masuk pelaburan asing secara besar-besaran pada awal tahun ini namun berkurangan pada April dan Mei dan pelabur asing kini sebaliknya menjadi penjual bersih.

“Bagaimanapun, dari sudut teknikal, perkembangan itu baik kerana kita dapat mencatat aliran pertumbuhan ke arah separuh kedua tahun depan dan menyaksikan kemasukan semula dana asing.

“Para pelabur lebih berminat kepada aspek pembaharuan dan penyusunan semula syarikat seperti pelantikan bekas anggota Kabinet, Tan Sri Abdul Wahid Omar sebagai Pengerusi baharu Permodalan Nasional Bhd (PNB) yang dilihat berpotensi memberi nilai tambah,” katanya.

Menurut Ng, di sebalik ketidaktentuan di Malaysia, saham-saham yang mampu memberi pulangan masih mencatat prestasi memberangsangkan termasuk unit dana amanah pelaburan hartanah (REIT) seperti IGB, F&N serta pembinaan yang disertai manfaat infrastruktur.

Ini disebabkan para pelabur bersedia membuat bayaran premium bagi syarikat yang mendapat paras pulangan tinggi, katanya.

Mengulas prospek ekonomi Malaysia, Ng berkata pertumbuhan negara ini masih menarik di mata para pelabur biarpun pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatat empat peratus pada suku kedua.

“Bagi tempoh penggal pertengahan ini, Malaysia perlu melihat secara serius untuk melaksanakan pendekatan yang dapat merancakkan ekonomi kerana pada tahun-tahun sebelumnya dan 2014, negara ini meraih banyak manfaat menerusi pelaburan berasaskan minyak dan gas,” katanya. – Bernama