M’sia kekal kedudukan ke-73 bagi purata kelajuan sambungan Internet global

M’sia kekal kedudukan ke-73 bagi purata kelajuan sambungan Internet global

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) – Malaysia mengekalkan kedudukan ke-73 bagi purata kelajuan sambungan Internet global, serta prestasi negara dalam infrastruktur internet semakin meningkat, menurut Akamai Technologies Inc.

Menurutnya, Malaysia mula menembusi beberapa kawasan dalam menjadikan penambahbaikan itu seiring dengan aspirasi negara untuk menjadi hab perniagaan dan perniagaan teknologi serantau.

“Pertumbuhan dijangka mempercepatkan usaha itu susulan kerajaan mengulangi semula penekanan terhadap Ekonomi Digital yang dijangka menyumbang 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar pada 2020 baru-baru ini,” menurut Akamai Technologies.

Akamai Technologies, syarikat yang menyediakan antara perkhidmatan rangkaian penyampaian kandungan terbesar di dunia menjelaskan perkara itu dalam Laporan Keadaan Internet bagi suku keempat 2015 yang dikeluarkan hari ini.

Berdasarkan pengumpulan data, laporan itu menyediakan pandangan mengenai statistik global utama seperti kepantasan sambungan, metrik penggunaan jalur lebar, gangguan Internet yang ketara, kepupusan IPv4 dan pelaksanaan IPv6

Menurutnya, Malaysia menunjukkan peningkatan iaitu empat peratus bagi alamat IP unik empat Megabait (Mbps), 1.4 peratus bagi alamat IP unik 10 Mbps dan 0.3 peratus bagi alamat IP unik untuk 15 Mbps sambungan kepada rangkaian Akamai.

Pada suku keempat 2015, Malaysia merupakan satu-satu negara di rantau Asia Pasifik yang mampu berada 10 teratas bagi penggunaan IPv6, dengan trafik alamat IP unik 8.8 peratus.

Ia berada di belakang negara seperti Perancis dan Ecuador dengan trafik IPv6 11 peratus dan Amerika Syarikat (17 peratus).