M’sia komited memperkasa NAM

M’sia komited memperkasa NAM

KUALA LUMPUR, 18 Sept – Malaysia akan menyatakan komitmen dan inisiatifnya bagi memperkasa Gerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) pada sidang kemuncak NAM ke-17 di Isla Margarita, Venezuela.

Menurut kenyataan Wisma Putra, perkara itu akan dinyatakan Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam ucapannya pada sidang kemuncak yang berlangsung selama dua hari bermula semalam.

Menurut kenyataan itu, penyertaan Malaysia ke sidang kemuncak berkenaan mencerminkan serta mengesahkan komitmen berterusan Malaysia kepada prinsip-prinsip dan perjuangan NAM.

Sidang Kemuncak ke-17 NAM bertemakan ‘Keamanan,Kedaulatan dan Kesepaduanbagi Pembangunan’ turut meraikan sambutan ulang tahun ke-55 penubuhan gerakan itu.

Ia dihoskan Republik Bolivaria Venezuela selaku Pengerusi NAM(2016-2019), mengambil alih kepengerusian NAM dari Iran yang memegang jawatan Pengerusi NAM dari 2012 hingga 2016.

Sidang Kemuncak NAM itu merupakan forum apabila wakil dari 120 negara anggota NAM berbincang dan menilai pelaksanaankeputusan yang dipersetujui semasa Sidang Kemuncak NAM ke-16 di Tehran pada Ogos 2012.

Sidang kemuncak yang diadakan setiap tiga tahun itu antara lain bagi menggubal maklum balas terhadap isu-isu serantau dan antarabangsa semasa, khususnya dalam bidang politik, keselamatan dan pembangunan.

Menurut kenyataan itu, Malaysia mengganggotai NAM pada 1970 dan pernah menjadi Pengerusi NAM dari 2003 hingga 2006 serta negara anggota kepada Jawatankuasa NAM mengenai Palestin, sejak 2002.

Semasa mempengerusikan NAM, Malaysia menghoskan Sidang Kemuncak NAM ke-13 diKuala Lumpur pada 2003, Mesyuarat Peringkat Menteri NAM Mengenai Kemajuan Wanita Kali Pertama di Putrajaya (2005), Persidangan Menteri-menteri Penerangan NAM Ke-6 di Kuala Lumpur (2005) dan Mesyuarat Menteri-menteri Biro Penyelarasan NAM di Putrajaya (2006).

“Malaysia juga telah menubuhkan NAM News Network di bawah Pertubuhan Berita Nasional Malaysia dan Institut Pemberdayaan Wanita NAM di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada 2005, serta membiayai sepenuhnya kos perbelanjaan bagi operasi institusi-institusi ini,” menurut kenyataan itu. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA