M’sia kutuk pelancaran roket Korea Utara

M’sia kutuk pelancaran roket Korea Utara

KUALA LUMPUR, 8 Feb – Malaysia mengutuk pelancaran roket jarak jauh oleh Republik Demokratik Rakyat Korea pada Ahad.

Kementerian Luar berkata Malaysia kesal kerana negara itu masih meneruskan program misilnya.

“Tindakan-tindakan sebegini merupakan pencabulan yang jelas terhadap resolusi-resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan,” kata kementerian itu dalam kenyataannya di sini, Ahad malam.

Menurut Wisma Putra demi keamanan dan keselamatan antarabangsa, Malaysia menggesa Republik Demokratik Rakyat Korea untuk menghentikan serta merta program sedemikian dan mematuhi sepenuhnya resolusi-resolusi Majlis Keselamatan PBB yang berkaitan.

Media antarabangsa melaporkan Korea Utara melancarkan roket jarak jauh yang didakwanya membawa satelit.

Roket berkenaan dilapor dilepaskan dari pangkalan roket Dongchang-ri, di barat laut negara itu kira-kira 9:30 pagi Ahad (waktu Korea Utara). – Bernama