M’sia mahu Turki dan Rusia kurangkan ketegangan

M’sia mahu Turki dan Rusia kurangkan ketegangan

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) – Malaysia menggesa Turki dan Rusia agar berusaha mengurangkan ketegangan antara kedua-dua negara berikutan insiden terbaharu, penembakan jatuh pesawat pejuang milik Rusia, Su-24.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata Malaysia percaya kedua-dua negara dapat menyelesaikan perbezaan antara mereka dan mencapai objektif utama iaitu membanteras kumpulan militan I.S atau pengganas Daesh di Syria.

“Malaysia sudah tentu amat bimbang mengenai kejadian itu dan kedua-dua negara harus bekerjasama dan bukannya bersaing dalam menangani konflik di Syria, “ katanya kepada Bernama dalam jawapan bertulis, di sini hari ini.

Anifah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ketegangan yang berlaku antara kedua-dua negara, baru-baru ini, selepas pesawat pejuang Rusia ditembak jatuh oleh Turki Selasa lalu, berhampiran ruang udara wilayahnya.

Ditanya sama ada ketegangan itu mungkin akan menyebabkan cetusnya Perang Dunia Baharu, Anifah berpendapat bahawa kejadian itu tidak mungkin menimbulkan konflik bersenjata antara Turki dan Rusia.

Gambar fail: Anifah Aman. - Bernama
Gambar fail: Anifah Aman. – Bernama

“Walaupun Turki boleh menggunakan Perkara 5 Piagam NATO yang mengarahkan negara anggota untuk membantunya, kemungkinan itu jarang berlaku, terutamanya ketika pemimpin barat telah menggesa agar pemimpin Turki-Rusia untuk meredakan ketegangan,” katanya.

Memandangkan kempen ketenteraan serentak terhadap Daesh di kawasan yang agak kecil oleh beberapa negara yang mempunyai pandangan dan kepentingan berbeza, Anifah berkata tidak mustahil bahawa insiden berkenaan boleh berlaku.

Ditanya mengenai kesediaan Kedutaan Malaysia, beliau berkata semua kedutaan menyedari prosedur operasi standard semasa krisis.

Anifah berkata terdapat sebanyak 218 rakyat Malaysia yang mendaftar dengan Kedutaan Malaysia di Ankara manakala 2,004 rakyat Malaysia yang tinggal di Rusia, berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Moscow.

Beliau berkata, buat masa ini, kementerian belum membuat sebarang arahan perpindahan dari kedua-dua negara berkenaan.

“Bagaimanapun, kami ingin menasihatkan rakyat Malaysia yang tinggal di rantau ini agar memastikan mereka mendaftar dan mengemas kini maklumat perhubungan dengan kedutaan,” katanya.