M’sia masih punyai pilihan keluar jika TPPA bawa lebih keburukan

M’sia masih punyai pilihan keluar jika TPPA bawa lebih keburukan

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) – Malaysia masih mempunyai pilihan untuk menarik diri daripada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) sekiranya kerajaan mendapati perjanjian itu membawa lebih keburukan berbanding kebaikan.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan berkata walaupun telah menandatangani TPPA, Malaysia boleh berbuat demikian dengan syarat memberi notis enam bulan kepada Suruhanjaya TPPA seperti yang termaktub dalam Artikel 30.6 perjanjian TPP.

“Sekiranya didapati ia hanya mendatangkan lebih banyak keburukan kepada negara, Malaysia boleh membawa perkara ini ke perhatian negara-negara TPPA yang lain melalui Suruhanjaya TPPA bagi membincangkan jalan penyelesaian atau membantu dalam mengatasi kesulitan jika ada, akibat TPPA.

“Jika Malaysia merasakan bahawa jalan penyelesaian tidak memadai, Malaysia mempunyai pilihan terakhir untuk menarik diri daripada perjanjian TPP,” katanya menjawab soalan Zuraida Kamaruddin (PKR-Ampang).

Ahmad Maslan berkata Suruhanjaya TPPA itu akan diwujudkan selepas perjanjian berkuat kuasa pada 2018.

Beliau berkata TPPA juga memperuntukkan klausa semakan semula bagi menangani masalah yang dihadapi negara TPPA, yang akan dijalankan tiga tahun selepas perjanjian berkuat kuasa dan sekitar setiap lima tahun berikutnya.

Ahmad Maslan juga menafikan bahawa bahagian ‘penyelesaian pertikaian pelabur-negara’ (ISDS) dalam TPPA hanya memanfaatkan pelabur asing di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA