M’sia miliki teknologi perangi ancaman siber

M’sia miliki teknologi perangi ancaman siber

KUALA LUMPUR, 1 Dis – Malaysia dilengkapi dengan pelbagai teknologi keselamatan bagi memerangi sebarang ancaman perisian jahat dan penggodaman berbanding negara lain, satu usaha yang kerajaan perlu teruskan.

Ketua Pegawai Penyelidikan F-Secure Corporation, iaitu syarikat keselamatan siber dan privasi berpangkalan di Finland, Mikko Hypponen berkata, semua negara terdedah kepada ancaman seumpama itu, namun Malaysia mempunyai perniagaan keselamatan siber yang berkembang pesat.

Walaupun dilengkapi dengan pelbagai sistem yang diperlukan, masih terdapat banyak kejadian penggodaman dan perisian jahat dilaporkan di Malaysia, yang menunjukkan keselamatan siber yang sempurna tidak wujud, katanya.

Oleh itu, usaha berterusan adalah penting bagi menangani masalah berkenaan dan lebih banyak usaha perlu dilakukan.

Kami melihat pelbagai jenis serangan menyasarkan syarikat Malaysia, tetapi saya percaya usaha memerangi ancaman itu semakin bertambah baik.

Malaysia dilengkapi dengan pelbagai teknologi keselamatan bagi memerangi sebarang ancaman perisian jahat dan penggodaman. – AFP
Malaysia dilengkapi dengan pelbagai teknologi keselamatan bagi memerangi sebarang ancaman perisian jahat dan penggodaman. – AFP

Saya berpendapat kita mempunyai harapan cerah untuk masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama pada Persidangan Penyelidik Anti-Virus Asia Antarabangsa Ke-19, di sini hari ini.

Hypponen berkata, bagi melindungi dunia siber Malaysia, di samping menarik perniagaan keselamatan siber terbaik, kerajaan perlu ke depan bagi merangsang industri maklumat dan teknologi ke peringkat lebih tinggi.

“Bagi Malaysia, kerajaan sedang melakukannya sama ada dalam mendidik generasi akan datang atau menyediakan persekitaran perniagaan yang kondusif kepada syarikat berkaitan keselamatan siber untuk beroperasi di sini,” tambahnya.

F-Secure adalah syarikat keselamatan siber global dengan pejabat di 28 negara dan ia sudah berada di Malaysia lebih 10 tahun lalu.

Sebelum itu dalam sidang akhbar, Naib Presiden Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Norhizam Abdul Kadir berkata, kerajaan serta beberapa agensi bekerjasama rapat bagi memastikan ancaman keselamatan ditangani dengan baik, terutama dalam sektor penting seperti perkhidmatan kewangan dan telekomunikasi.

Mengenai 2017 yang diisytihar sebagai Tahun Ekonomi Digital sebagimana diumum dalam Bajet 2017, Norhizam berkata, MDEC akan menarik pelaburan secara agresif daripada pelabur tempatan dan asing.

Menurutnya, pelbagai inisiatif akan dilaksana tahun depan bagi meningkatkan lagi kepentingan ekonomi digital, yang menyumbang kira-kira 17.8 peratus kepada keluaran dalam negara kasar Malaysia tahun lepas.

Sejak 20 tahun lalu, sektor tersebut telah menarik pelaburan bernilai RM283 bilion, tambah beliau. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA