M’sia minta k’jaan Myanmar tangani keganasan

M’sia minta k’jaan Myanmar tangani keganasan

PUTRAJAYA, 25 Nov – Malaysia menyeru kerajaan Myanmar supaya mengambil tindakan perlu bagi menangani penghapusan etnik yang didakwa berlaku di Rakhine, sebuah negeri di utara negara itu.

Kementerian Luar Malaysia berkata ia akan memanggil duta besar Myanmar di Malaysia untuk menghadap bagi menyampaikan kegusaran Kerajaan Malaysia tentang isu itu.

Katanya, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman pula akan mengadakan perjumpaan dengan Kaunselor Negara dan Menteri Luar Myanmar Daw Aung San Suu Kyi dalam tempoh secepat mungkin.

“Malaysia menyeru semua pihak yang terlibat dalam keganasan terbaru supaya mengelak daripada mengambil sebarang tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan,” kata kementerian itu dalam kenyataan  di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, Malaysia mengutuk keganasan dahsyat yang berlaku di Rakhine sejak beberapa bulan lepas dan mengorbankan nyawa mereka yang tidak bersalah serta menyebabkan banyak penduduk terpaksa melarikan diri dari kampung halaman masing-masing. – Bernama