M’sia optimis capai sasaran perangi HIV/AIDS

M’sia optimis capai sasaran perangi HIV/AIDS

MARAN, 1 Dis – Malaysia dijangka mampu mencapai kadar penurunan kes baharu jangkitan HIV iaitu tidak melebihi 11 kes daripada 100,000 penduduk pada tahun ini selaras dengan sasaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor HIV/STI Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Dr. Fazidah Yuswan berkata pihaknya optimis mampu mencapai sasaran itu berdasarkan kadar kes baharu yang dicatatkan pada tahun lepas iaitu 10.9 kes daripada 100,000 penduduk.

“Jangkitan baru HIV/AIDS di seluruh dunia mencatat penurunan sebanyak 35 peratus sejak tahun 2000, begitu juga kematian akibat AIDS yang menurun sebanyak 42 peratus.

“Malaysia mengikut trend dunia dalam hal ini dengan mencatat penurunan kes baharu HIV sebanyak 50 peratus berbanding tahun 2002 dan trend penurunan itu kekal mendatar sejak 2010,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari AIDS Sedunia 2016 Peringkat Negeri Pahang, di sini, hari ini.

Dr. Fazidah Yuswan (dua kiri) menyampaikan hadiah kepada wakil Hospital Kuala Lipis yang menjuarai pertandingan kain rentang terbaik sempena Program Hari AIDS Sedunia 2016 Peringkat Negeri Pahang di Pekan Tajau, Maran, kelmarin. – Bernama
Dr. Fazidah Yuswan (dua kiri) menyampaikan hadiah kepada wakil Hospital Kuala Lipis yang menjuarai pertandingan kain rentang terbaik sempena Program Hari AIDS Sedunia 2016 Peringkat Negeri Pahang di Pekan Tajau, Maran, kelmarin. – Bernama

Sambutan dengan tema ‘Akhiri AIDS: Teruskan Komitmen, Tingkatkan Usaha, Kukuhkan Pencegahan HIV’ dihadiri kira-kira 500 penduduk dari kawasan sekitar.

Mengikut rekod kementerian, katanya 83 peratus daripada penghidap HIV di negara ini adalah lelaki, manakala 61 peratus pula adalah golongan muda berusia 20 hingga 39 tahun.

Beliau berkata kerajaan dan semua pihak terlibat komited untuk mengakhiri AIDS menjelang 2030 dengan mengambil pelbagai langkah proaktif termasuk mengadakan dokumen Pelan Strategi Kebangsaan Akhiri AIDS 2016-2030 untuk panduan semua agensi. – Bernama