M’sia pintu masuk ke ASEAN, China bagi pelabur UK – HSBC

M’sia pintu masuk ke ASEAN, China bagi pelabur UK – HSBC

KUALA LUMPUR, 27 Sept – Para pelabur United Kingdom (UK) wajar melihat Malaysia sebagai pintu masuk ke pasaran ASEAN dan ekonomi utama di dunia termasuk China, menurut HSBC Bank Malaysia Bhd hari ini.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutifnya Mukhtar Hussain berkata Malaysia yang terletak di lokasi strategik di tengah-tengah ASEAN, menawarkan pelbagai kelebihan seperti kesalinghubungan yang tiada bandingannya, serta dasar yang pragmatik, berhemat dan mesra perniagaan.

“Dengan hubung kait sejarahnya yang kukuh, pelabur UK harus memanfaatkan lokasi Malaysia yang strategik ini, sama ada dengan mewujudkan hubungan serantau untuk memberi khidmat kepada syarikat yang berkaitan di rantau ini, atau mengguna Malaysia sebagai platform pelancaran untuk menembusi ASEAN, yang merupakan ekonomi ketujuh terbesar di dunia,” katanya.

HSBC Bank Malaysia ialah anak syarikat tempatan syarikat perkhidmatan kewangan dan perbankan multinasional yang berpangkalan di Britain, HSBC Group.

Malaysia ialah rakan dagangan kedua terbesar UK di rantau ASEAN, dengan jumlah dagangan antara dua negara sebanyak RM16.07 bilion pada 2015.

Pelaburan langsung asing dari UK ke Malaysia sebanyak 3.4 bilion paun pada akhir 2015, dengan separuh daripada pelaburan adalah dalam industri produk bahan kimia dan petroleum.

Mukhtar berkata usaha sama bersama firma UK akan menawarkan peluang tertentu kepada syarikat Malaysia bagi membuat sasaran untuk beralih ke produk bernilai lebih tinggi.

“Kekuatan UK dalam sains dan teknologi, contohnya, menyokong inovasi perniagaan inovatif dalam sektor yang berkembang pesat seperti perisian, teknologi dan bahan,” katanya.

Kenyataan tersebut dikeluarkan bersempena Kempen ‘Pilih Malaysia’, satu usaha sama antara sektor swasta Malaysia dan UK bagi mempamerkan kekuatan Malaysia dan pelbagai sektor melalui acara khusus. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA