M’sia salurkan bantuan kepada pelarian Syria di Shebaa

M’sia salurkan bantuan kepada pelarian Syria di Shebaa

PUTRAJAYA, 14 Feb – Malaysia telah memberikan bantuan kemanusiaan kepada pelarian Syria di Perkampungan Shebaa yang terletak hampir 150 km dari Beirut di kawasan pergunungan yang terpencil di tenggara Lubnan.

Perkampungan tersebut juga berhampiran dengan sempadan Syria dan Ladang Shebaa yang diduduki oleh Israel.

Menurut En. Mohammad al-Saadi, Ketua Pusat Pembangunan Sosial Shebaa, Malaysia merupakan negara pertama yang telah menyalurkan bantuan secara terus kepada para pelarian di perkampungan tersebut.

Duta Besar Malaysia ke Lubnan, TYT Bala Chandran Tharman dan isteri telah mengedarkan 1,000 bungkusan pakaian musim sejuk untuk kanak-kanak dan wanita pelarian di perkampungan tersebut pada 11 Februari 2016.

Keseluruhan bungkusan berharga AS$28,500.00 (RM125,682.15) dan setiap satunya mengandungi baju tebal, seluar, skarf, jaket, stokin dan selimut. Memandangkan kekurangan bekalan berhampiran kawasan tersebut, Kedutaan Besar Malaysia membeli barangan tersebut di Bandar Tyre di barat daya Lubnan dan membawanya ke Shebaa di tenggara Lubnan, sejauh 100 km melalui jalan pergunungan.

Oleh kerana Lubnan mengalami musim sejuk yang agak teruk, maka adalah penting bagi memastikan golongan pelarian yang paling terdedah iaitu kanak-kanak dan wanita, diberikan bantuan walaupun berada di kawasan terpencil dan berbahaya agar bantuan Malaysia sedikit sebanyak dapat mengurangkan kesengsaraan mereka.

Penyaluran bantuan kemanusiaan Malaysia di Perkampungan Shebaa merupakan salah satu daripada misi-misi bantuan yang sedang diusahakan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Lubnan untuk pelarian Syria di persempadanan utara dan timur Lubnan dengan Syria. –Bernama

ARTIKEL YANG SAMA