M’sia sasar jadi pengeluar Solar PV kedua terbesar dunia menjelang 2020

M’sia sasar jadi pengeluar Solar PV kedua terbesar dunia menjelang 2020

KUALA LUMPUR, 5 Okt – Malaysia menyasar menjadi pengeluar solar fotovoltaik (Solar PV) kedua terbesar di dunia menjelang 2020, kata Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Zaini Ujang.

Beliau berkata pengeluaran sekarang ialah 12 peratus dan sasarannya untuk mencapai 20 peratus pada masa itu.

“Malaysia ketika ini berada di kedudukan ketiga dari segi pengeluaran solar PV. Berdasarkan penyelidikan pasaran, pada 2015, jumlah penghantaran global solar PV berjumlah 50.8 gigawatt.

“China menyumbang 48 peratus, Taiwan 20 peratus, Malaysia 12 peratus dan Jepun enam peratus,” katanya.

Zaini berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pameran dan Persidangan Teknologi Hijau dan Produk Eko Antarabangsa Malaysia ke-7 Malaysia selama dua hari, di sini, hari ini.

Beliau berkata bagi mencapai sasaran itu Malaysia perlu mengguna pakai teknologi hijau dan tidak ketinggalan di belakang pasaran utama.

“Inisiatif lain bagi memenuhi sasaran tersebut ialah Malaysia kini memulakan pemeteran tenaga bersih (NEM) sebagai kaedah menarik untuk memacu pertumbuhan tenaga solar,” katanya.

NEM akan membolehkan ramai pemilik rumah dan bangunan, sama ada perindustrian atau komersil menjana elektrik bagi solar PV atau menggunakannya di peringkat dalaman, katanya.  – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA