M’sia sedia bangunkan sektor tenaga ASEAN

M’sia sedia bangunkan sektor tenaga ASEAN

KUALA LUMPUR, 21 April – Pemerolehan Edra Power Holdings Sdn Bhd (Edra) membabitkan RM9.83 bilion – pelaburan asing tunggal terbesar di Malaysia oleh China General Nuclear Power Corporation (CGN), meletakkan Malaysia dalam kedudukan yang kukuh untuk membangunkan sektor tenaga ASEAN, kata Presiden dan Pengarah Eksekutif Edra Datuk Mark Ling hari ini.

Beliau memberitahu Bernama bahawa Edra, yang disokong oleh permodalan CGN sebanyak AS$60 bilion, kini boleh menyambungkan grid Trans-ASEAN dari Filipina ke Sabah, Sarawak dan Sumatera.

“Kami kini dapat serta-merta meningkatkan peluang dan komitmen, suatu peluang yang sudah pun menunggu selama ini namun tidak dapat disambut,” katanya.

CGN, syarikat tenaga bersih terkemuka di dunia, menyelesaikan pengambilalihan Edra, pengeluar tenaga bebas kedua terbesar (IPP) Malaysia, bulan lepas, menjadikannya penggabungan dan pengambilalihan perjanjian terbesar di negara ini tahun ini.

Edra ditubuhkan pada 2014 hasil penggabungan tiga IPP utama di Malaysia, Powertek Energy Group, KLPP Group dan Jimah Energy Group, masing-masing dengan sejarah mengagumkan dalam pembangunan, operasi dan penyelenggaraan loji tenaga.

Ling berkata Kerajaan Malaysia telah mengkaji projek kabel dasar laut yang sekurang-kurangnya mempunyai satu lingkaran elektrik untuk digunakan di rantau ini dari Asia Tenggara ke China. – Bernama