M’sia sedia bantu padam kebakaran di Sumatera

M’sia sedia bantu padam kebakaran di Sumatera

TANJUNG MALIM, 21 Ogos – Malaysia sedia menghantar pesawat jenis bombardier ke Sumatera, Indonesia bagi membantu operasi memadam kebakaran yang menyebabkan berlaku jerebu rentas sempadan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Menurut beliau pihak Malaysia khususnya Majlis Keselamatan Negara (MKN) kinitelah bersiap sedia dari segi bantuan untuk operasi tersebut sekiranya diperlukan.

“Tahun lepas kita telah hantar pesawat untuk operasi memadam kebakaran di Sumatera. Jadi pada tahun ini, kita tunggu permohonan daripada mereka (Indonesia).

“Sekiranya ada (permintaan), kita akan hantar. Pesawat bombardier kini bersiap sedia untuk menerima apa-apa arahan, namun ia terpulang kepada Indonesia kerana jerebu datang dari sana. Jika ada keperluan mendesak kita akan bantu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada majlis Pentauliahan dan Perhimpunan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor Sispa) Peringkat Kebangsaan kali ke-7 tahun 2006 di padang kawad Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Kampus Sultan Azlan Shah di sini hari ini.

Seramai 895 kadet Kor Sispa dari 12 buah Universiti Awam dan enam InstitusiPengajian Tinggi Swasta (IPTS) telah menerima pentauliahan pada majlis tersebut.

Tahun lepas sebuah pesawat jenis bombardier CL415MP dan helikopter AS 365 N3 dauphin milik Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah dihantar ke Sumatera Selatan bagi membantu operasi memadam kebakaran tersebut.

Menurut Shahidan, penggunaan pesawat bombardier sangat efisien kerana ia mempunyai kelebihan memadam api dari udara menggunakan teknik bom air dan hanya dimiliki Malaysia bagi rantau Asia. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA