M’sia setuju 3 pendekatan Arab Saudi perangi Daesh

M’sia setuju 3 pendekatan Arab Saudi perangi Daesh

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) – Malaysia bersetuju menggunakan tiga pendekatan Arab Saudi dalam memerangi Daesh termasuk mengenal pasti sumber kewangan kumpulan pengganas itu, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Selain itu, katanya, Malaysia sedia menggunakan pendekatan negara itu bagi mengenal pasti ideologi propaganda Daesh dan peranan media sosial dalam merekrut anggota kumpulannya.

“Ini merupakan hasil perbincangan saya bersama-sama rakan sejawatan Putera Mahkota Arab Saudi Muhammad bin Salman baru-baru ini.

“Pendekatan itu merupakan satu daripada inisiatif kerajaan dalam mengekang penyebaran Daesh, yang kini menjadi kebimbangan dunia,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2016 di Wisma Pertahanan.

Bagaimanapun, katanya, Malaysia menolak pendekatan ketenteraan yang digunakan oleh Arab Saudi.

Pada 27 Jan lepas, Malaysia dan Arab Saudi menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi mengukuhkan kerjasama pertahanan terutama dalam bidang sains, teknologi dan industri.

MoU itu ditandatangani Hishammuddin dan Muhammad bin Salman semasa lawatan kerja Hishammuddin ke negara itu.