M’sia setuju ambil ramai pembantu rumah Kemboja

M’sia setuju ambil ramai pembantu rumah Kemboja

PUTRAJAYA, 3 Jun – Malaysia bersetuju untuk membenarkan lebih ramai warga Kemboja bekerja di negara ini terutama sebagai pembantu rumah.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tetamu negara, Perdana Menteri Kemboja Hun Sen telah menyatakan minat untuk menghantar lebih ramai pekerja Kemboja ke Malaysia semasa mereka mengadakan perbincangan dua hala di sini, hari ini.

“Kemboja telah menyatakan minat kepada Malaysia supaya dibenarkan lebih ramai warga Kemboja bekerja di negara ini. Kita telah menerima tawaran itu terutama bagi bidang pembantu rumah,” katanya pada sidang media bersama dengan Hun Sen di Perdana Putera selepas pertemuan itu.

Hun Sen, yang tiba di Malaysia pada Rabu, sedang dalam rangka lawatan rasmi empat hari di Malaysia dan akan turut menghadiri Forum Ekonomi Dunia mengenai ASEAN.

Datuk Seri Najib bersalaman dengan Hun Sen selepas sidang media bersama sempena lawatan rasmi rakan sejawatnya itu di Bangunan Perdana Putra kelmarin. - Bernama
Datuk Seri Najib bersalaman dengan Hun Sen selepas sidang media bersama sempena lawatan rasmi rakan sejawatnya itu di Bangunan Perdana Putra kelmarin. – Bernama

Pada Disember tahun lepas, Malaysia dan Kemboja menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk menyambung penghantaran pembantu rumah ke Malaysia bagi pengambilan pertengahan 2016.

Najib berkata Malaysia dan Kemboja juga bersetuju untuk menyegerakan perjanjian mengenai usaha membanteras perdagangan manusia dan cukai berganda.

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan sempena mesyuarat Malaysia-Kemboja itu, Kementerian Hal Ehwal Wanita Kemboja dan Kementerian Dalam Negeri Malaysia telah ditugaskan untuk menyegerakan perundingan bagi menandatangani perjanjian berhubung perdagangan manusia. – Bernama