M’sia, S’pura laksana projek kereta api laju

M’sia, S’pura laksana projek kereta api laju

PUTRAJAYA, 19 Julai – Projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) akan menjadi pengubah strategi bagi Malaysia dan Singapura, termasuk dari segi penjanaan ekonomi, gaya hidup, nilai hartanah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata projek itu yang dijadualkan siap pada 2026 juga akan menjana dorongan baharu dari segi pembangunan ekonomi di bandar-bandar di sepanjang laluan dan bukan semata-mata di Lembah Klang dan Singapura.

“Apa yang berlaku menjelang 2026, kami menjangkakan masa depan yang sangat menarik bagi Malaysia dan Singapura, dan masa depan itu akan menjadi kenyataan sebaik projek itu beroperasi,” katanya.

Bercakap pada sidang media bersama Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong di Seri Perdana di sini hari ini, Najib berkata menerusi projek itu jarak Kuala Lumpur dan Singapura tidak lagi jauh, sebaliknya bandar raya yang dihubung rapat.

Najib dan Lee sebelum itu menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman bagi projek HSR, yang mengesahkan komitmen Kuala Lumpur-Singapura dalam projek penting itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Abdul Rahman Dahlan (kanan) dan Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan (kiri) bertukar-tukar dokumen dengan disaksikan oleh PM Datuk Seri Najib Tun Razak dan PM Lee Hsien Loong, di kediaman rasmi Najib, Putrajaya, Kuala Lumpur pada 19 Julai. – AFP
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Abdul Rahman Dahlan (kanan) dan Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan (kiri) bertukar-tukar dokumen dengan disaksikan oleh PM Datuk Seri Najib Tun Razak dan PM Lee Hsien Loong, di kediaman rasmi Najib, Putrajaya, Kuala Lumpur pada 19 Julai. – AFP

Landasan sepanjang 350km itu akan mengurangkan masa perjalanan kepada 90 minit antara kedua-dua bandar raya, dengan kelajuan lebih 300km/sejam.

Projek HSR mempunyai lapan stesen iaitu Bandar Malaysia, Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat, Iskandar Puteri dan Singapura.

Najib berkata kajian kesan pengganda projek itu ke atas kedua-dua negara boleh dilaksanakan, termasuk dari segi peningkatan pendapatan negara kasar (PNK) serta pewujudan peluang pekerjaan, yang dianggarkan sebanyak 30,000 susulan pelaksanaan HSR.

“Selain angka, projek itu juga akan membawa perubahan besar, bukan sahaja kepada Lembah Klang, Kuala Lumpur dan Singapura, bahkan bandar-bandar di sepanjang laluan yang bakal memperoleh dorongan baharu dalam bentuk pembangunan ekonomi.

“Nilai tanah akan meningkat. Sebagai contoh, hartanah di sepanjang jalan bakal menyaksikan peningkatan nilai,” katanya.

Lee pula berkata HSR akan menjadikan perniagaan dan pelaburan lebih mudah dan sedang dan mampu diurus.

Memetik contoh bandar raya seperti Kaohsiung dan Taipei di Taiwan selain Shanghai dan Nanjing di China, beliau berkata bandar raya terbabit menyaksikan persaingan yang meningkat, urus niaga yang dijalankan serta pelbagai pilihan selain mencatat kemajuan pesat.

“Saya nampak projek ini sangat positif. Ia merupakan projek besar yang dijayakan oleh kedua-dua pihak, dan jika kami laksanakan, merupakan sumbangan strategik,” kata Lee.

Mengenai proses tender, Najib berkata Malaysia dan Singapura komited dalam memastikan proses yang adil, telus dan berobjektif.

“Projek ini menarik minat antarabangsa. Oleh itu penting untuk kita memastikan prosesnya adil, telus dan objektif.

“Imej dan integriti kedua-dua negara menjadi taruhan. Prosesnya akan dilakukan seadil mungkin,” katanya.

Lee berkata kedua-dua negara juga akan membuat keputusan bersama dalam memastikan projek itu mendapat nilai terbaik.

“Kedua-dua pihak akan bekerja rapat. HSR merupakan projek bersama dan kami berdua akan menjalankan keputusan yang dibuat,” katanya.

Mengenai kos projek, Najib berkata masanya belum tiba untuk menyatakan angkanya di peringkat sekarang memandangkan bidaan belum dibuka, dan hanya selepas kedua-dua negara mencapai kata putus, angka tepat dari segi kos projek akan diumumkan.

“Memandangkan ia akan siap dalam tempoh 10 tahun lagi, banyak perubahan akan berlaku dan oleh itu tidak sesuai untuk menyebut kosnya sekarang,” katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan halangan yang bakal menjejaskan pelaksanaan jadual projek itu, Lee yang mengakui tempoh masanya yang singkat, berkata selagi kedua-dua negara dapat menyediakan sumber yang diperlukan, projek itu akan berjalan.

“Projek ini sangat kompleks, dan kami perlu ada semua keperluan bagi memastikan projek ini dapat dilaksanakan,” katanya. – Bernama