M’sia & S’pura perlu rancang percutian lebih baik

M’sia & S’pura perlu rancang percutian lebih baik

SINGAPURA, 3 Jan (Bernama) – Malaysia dan Singapura akan mempunyai siri hujung minggu yang panjang tahun ini dan dengan itu memerlukan perancangan percutian yang lebih baik.

Akan ada lapan hujung minggu yang panjang (cuti sama ada jatuh pada hari Jumaat atau Isnin) bagi Malaysia dan enam untuk Singapura.

Dilaporkan di sini bahawa untuk Tahun Baharu Cina sahaja, tiket bagi bas perjalanan ke Malaysia mendapat permintaan yang tinggi, walaupun harga meningkat tiga kali ganda.

Memetik Persatuan Bas Ekspres dan Persiaran, menurut laporan itu 12 pengusaha bas ekspres telah menaikkan tambang kepada antara S$90 (S$1 = RM3.05) dan S$150.

Tiket untuk 5 Feb, iaitu hari Jumaat sebelum hujung minggu Tahun Baharu Cina yang panjang, sudah habis dijual, manakala, 80 peratus daripada tiket bagi 6 Feb telah dijual, kata persatuan itu.

Persatuan itu berkata 12 pengusaha bas telah menambah perjalanan harian tambahan, daripada 70 pada hari biasa kepada 300 dalam tempoh Tahun Baharu Cina.

Tahun Baharu Cina jatuh pada 8 Feb atau Isnin manakala tiket mula dijual dari bulan November tahun lepas.

“Pada mulanya, kami tidak yakin dengan jualan tahun ini kerana ekonomi tidak begitu baik seperti tahun-tahun sebelumnya,” menurut laporan itu yang memetik kenyataan bendahari Persatuan, Elson Yap.

Tambahnya, dolar Singapura yang kukuh menjadi sebab untuk permintaan tinggi bagi tiket, kerana lebih ramai rakyat Malaysia tinggal di republik itu untuk bekerja.

Selain bas, laporan itu berkata penumpang juga menimbang mengambil kereta api dari Singapura ke Johor.

ARTIKEL YANG SAMA