M’Sia-S’pura perlu tingkat hubungan hasil peluasan akses pasaran

M’Sia-S’pura perlu tingkat hubungan hasil peluasan akses pasaran

SINGAPURA, 17 Mac (Bernama) – Malaysia dan Singapura perlu meningkatkan perhubungan sesama penduduk serta barangan dan perkhidmatan bagi mengoptimumkan manfaat daripada ekonomi yang semakin terbuka.

Perhubungan merupakan isu utama yang dibangkitkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed semasa pertemuan beliau dengan rakan sejawatannya Lim Hng Kiang, di sini pada Rabu.

“Kita sering mendengar masalah kesesakan untuk memasuki kedua-dua negara melalui Tambak Johor dan Link Kedua, yang memakan masa antara tiga dan lima jam.

“Kita memahami kebimbangan Singapura dari segi isu keselamatan dan penyeludupan. Kita berharap satu penyelesaian yang dapat mengurangkan masalah perhubungan ini,” kata Mustapa.

“Ia perlu diselesaikan kerana pasaran semakin terbuka melalui Komuniti Ekonomi ASEAN dan Perkongsian Trans-Pasifik,” katanya kepada Bernama pada akhir lawatan kerja dua hari ke Singapura.

Datuk Seri Mustapa bersama Pengerusi Bersama Majlis Perniagaan Malaysia-Singapura, Dr Robert Yap (kiri) dan Pengerusi Majlis Perniagaan EU-ASEAN, Francois Guibert. – Bernama
Datuk Seri Mustapa bersama Pengerusi Bersama Majlis Perniagaan Malaysia-Singapura, Dr Robert Yap (kiri) dan Pengerusi Majlis Perniagaan EU-ASEAN, Francois Guibert. – Bernama

Mustapa yang berada di sini sejak Selasa, berharap isu itu akan dibentangkan dan dibincangkan pada Mesyuarat Perundingan Tahunan antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya Lee Hsien Loong.

Menurut Mustapa mesyuarat perundingan tahunan ini dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur, dan tarikhnya ‘sedang dimuktamadkan’.

Malaysia dan Singapura mempunyai Kumpulan Kerja Hubungan Pengangkutan yang sentiasa berusaha memperkukuh perhubungan pengangkutan.

Berdasarkan perkembangan terkini, Malaysia sudah mengesahkan bahawa Bukit Chagar akan menjadi lokasi terminal di Johor Bahru, yang akan dihubungkan dengan Stesen MRT Woodlands Utara Singapura.

Selain pertemuan dengan Lim, Mustapa turut mengadakan mesyuarat bersama bank-bank Malaysia di Singapura – Maybank, RHB, CIMB – Fuji Oil Asia Pte Ltd dan Volkswagen Group.

Beliau juga mengadakan sesi dialog bersama Dewan Perniagaan dan Industri Jepun Singapura, Anggota Majlis Persekutuan Perniagaan Singapura, Persatuan Perdagangan dan Perniagaan di Singapura, Majlis Perniagaan EU-ASEAN dan Dewan Perniagaan Amerika Singapura.