M’sia suarakan isu penting di perhimpunan agung PBB

M’sia suarakan isu penting di perhimpunan agung PBB

NEW YORK, 19 Sept – Malaysia bersedia untuk menyuarakan pandangan dan penyelesaian berhubung beberapa isu penting yang dihadapi dunia pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA) ke-71 yang berlangsung di Ibu Pejabat PBB di sini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengetuai delegasi Malaysia akan turut berpeluang mengenengahkan sumbangan Kuala Lumpur ke arah menangani isu seperti krisis pelarian dan keamanan dunia.

“Ia penting untuk diambil kira Malaysia selaku (bukan anggota tetap) anggota Majlis Keselamatan PBB mampu menyampaikan pandangan kita mengenai perkara yang melibatkan masyarakat antarabangsa,” kata Ahmad Zahid kepada media Malaysia yang membuat liputan penyertaan beliau di UNGA di sini pada Ahad.

Pada Isnin beliau yang juga menteri dalam negeri akan menyertai mesyuarat peringkat tinggi bagi menangani pergerakan besar-besaran pelarian dan migran. Mengenai krisis pelarian susulan konflik seperti di Syria, beliau berkata Malaysia kekal komited untuk memenuhi janjinya bagi menerima 3,000 pelarian Syria dalam tempoh tiga tahun seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada UNGA tahun lalu. Ini, katanya walaupun Malaysia bukan merupakan pihak kepada Konvensyen Pelarian 1951.

Ahmad Zahid berkata pada mesyuarat esok, beliau mahu mengenengahkan usaha yang sedang dilakukan Kuala Lumpur untuk menangani isu seperti berhubung pemegang kad Pertubuhan Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR).

Beliau berkata kini terdapat kira-kira 154,000 pelarian dan pencari suaka di Malaysia dan oleh itu adalah penting bagi kerajaan untuk menangani masalah berhubung mereka bagi mengelak negara daripada menjadi transit atau destinasi akhir kepada golongan ini termasuk migran ekonomi. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA