M’sia sukar capai negara maju jika tolak TPPA 

M’sia sukar capai negara maju jika tolak TPPA 

KANGAR, 25 Jan – Malaysia akan terlepas banyak peluang untuk merapatkan jurang kemajuan serta sukar mencapai status negara maju berpendapatan tinggi jika memilih untuk menolak Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Malah, jelas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (Gambar), menerusi TPPA, Malaysia dijangka menerima pelaburan tambahan sebanyak AS$136 bilion hingga AS$239 bilion selain dapat mewujudkan dua juta peluang pekerjaan menjelang tahun 2027 yang sekaligus meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Pelaburan yang masuk ini mampu mencipta pasaran dan perniagaan lebih meluas. Jika pasaran dalam negara kecil seperti Malaysia tidak cukup, kita harus menerima pembaharuan agar perniagaan kita terus berkembang. “Kerajaan merasakan amat penting untuk merebut peluang yang menjadi batu loncatan kepada hala tuju negara demi meningkatkan ekonomi rakyat dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat TPPA peringkat negeri Perlis di Dewan 2020 di sini, Ahad malam.

Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man dan Setiausaha Kerajaan Negeri Ahmad Zamri Khairuddin.

KL05_190116_HARI EKSPORT

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, Malaysia juga akan kehilangan banyak peluang perdagangan dan pelaburan jika memilih untuk menolak TPPA.

“Sebaliknya, Singapura dan Vietnam yang menyertai TPPA akan dapat menarik lebih banyak perdagangan dan pelaburan asing ke negara mereka. “(Ini akan menyebabkan) Malaysia akan beransur-ansur ketinggalan dan menyebabkan jurang kemajuan kita dengan mereka semakin luas kerana TPPA memberi manfaat terhadap pembangunan sesebuah negara dalam pelbagai aspek termasuk peningkatan pasaran, pembangunan dasar dan kecanggihan teknologi,” katanya. – Bernama