M’sia tawar bantuan kepada Perancis

M’sia tawar bantuan kepada Perancis

ULAN BATOR, Mongolia, 15 Julai – Malaysia, yang mempunyai pengalaman luas menangani isu keganasan sejak 1948, hari ini menawarkan prosedur operasi standard (SOP) mengenai pemulihan dan deradikalisasi kepada Perancis dan negara lain. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata SOP dalam empat bahasa itu, termasuk Perancis, akan ditawarkan kepada negara berkenaan yang menghadapi serangan pengganas terbaru pada Khamis.

“Berbanding jenayah terancang, ideologi jenayah harus dilihat lebih daripada sekadar keganasan. Ini ideologi…ada usaha radikalisasi dan Malaysia mempunyai SOP untuk dikongsi dengan negara-negara mangsa keganasan,” katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia di sini hari ini.

Zahid, yang mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Mesyuarat Asia-Eropah ke-11 yang bermula Jumaat, berkata Malaysia sedia menawarkan latihan untuk pengajar bagi negara yang mempunyai masalah radikalisasi. Menurut media asing, sekurang-kurangnya 80 orang terbunuh di selatan Perancis, selepas sebuah trak dilaporkan merempuh sekumpulan penduduk yang sedang merayakan Hari Bastille.

Pada November tahun lepas pula, lebih 100 orang terbunuh dalam serangan pengganas di Paris.

Zahid berkata Malaysia melahirkan rasa dukacita terhadap kejadian itu dan bimbang ia akan memburukkan agama Islam jika dilakukan oleh pengganas yang menggunakan nama Islam.

Mengulas lanjut tawaran SOP itu, Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata beliau telah mengarahkan Jabatan Penjara, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, beberapa pakar psikologi dan ulama untuk membantu negara-negara berkenaan. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA