M’sia tawar jadi penasihat halal Jepun

M’sia tawar jadi penasihat halal Jepun

TOKYO, 17 Nov – Malaysia menawarkan khidmat sebagai penasihat industri halal kepada Jepun, yang semakin mempunyai potensi besar kepada produk tersebut.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata permintaan terhadap makanan atau produk halal dijangka meningkat menjelang temasya Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

“…Sukan Olimpik tahun 2020, sudah tentu ramai pengunjung dan atlet dari negara Islam yang berkehendakkan makanan dan produk halal,” kata Perdana Menteri kepada wartawan Malaysia pada akhir lawatan kerja beliau ke Jepun.

Bandaraya Tokyo akan menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Panas yang akan berlangsung pada Ogos 2020. Sebelum ini, Tokyo menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Panas pada 1964.

Menurut Najib, beliau telah memaklumkan tawaran tersebut kepada rakan sejawatannya Shinzo Abe semasa mengadakan pertemuan dengan pemimpin Jepun di pejabatnya, di sini.

Najib Razak (kiri) dan Shinzo Abe ketika bersalaman selepas sidang media bersama berikutan rundingan dua hala di Tokyo pada 16 November. – AFP
Najib Razak (kiri) dan Shinzo Abe ketika bersalaman selepas sidang media bersama berikutan rundingan dua hala di Tokyo pada 16 November. – AFP

Katanya beliau juga memberitahu Abe bahawa pelancong, termasuk dari Malaysia semakin berminat untuk berkunjung ke Jepun, sekali gus mewujudkan permintaan tinggi kepada produk halal.

Najib berkata piawaian halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempunyai kredibiliti tinggi dan diterima oleh pihak Pertubuhan Perdagangan Antarabangsa (WTO) dan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

“Jika Malaysia dilantik sebagai penasihat industri halal Jepun, sudah pasti (produk halal) di sini mudah diterima oleh mana-mana pihak,” katanya.

Semasa kunjungan ke Jepun Mei lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, selaku Pengerusi Majlis Halal Malaysia, turut mempromosikan piawaian halal Jakim kepada rakan sejawatannya Taro Aso, yang juga Menteri Kewangan Jepun.

Ketika ini, sebanyak 54 badan persijilan dari 32 negara dan empat pihak berkuasa dari Kesatuan Negara Islam telah mendapat pengiktirafan halal daripada Jakim. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA