M’sia terus desak Israel hentikan pendudukan haram

M’sia terus desak Israel hentikan pendudukan haram

NEW YORK, 20 Sept – Masyarakat antarabangsa perlu terus mengenakan tekanan ke atas kerajaan Israel supaya menghentikan dasar penempatan haramnya di Palestin, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Katanya, ini hendaklah dilakukan menerusi semua saluran undang-undang, diplomatik dan ekonomi.

“Dasar pendudukan itu merupakan batu penghalang kepada rundingan damai antara kedua-dua pihak yang bertikai (Palestin dan Israel),” katanya.

Anifah berkata demikian dalam kenyataan Malaysia di mesyuarat jawatankuasa enam anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengenai Palestin di luar Perhimpunan Agung Bangsa Bersatu (UNGA) yang sedang berlangsung di sini.

Menteri Luar Palestin Dr Riad Al-Malki memuji mesyuarat itu yang dipengerusikan setiausaha agung OIC Iyad Ameen Madani mengenai perkembangan terbaharu di Palestin dan Al-Quds Al-Sharif.

Anifah berkata Malaysia cukup bimbang terhadap peningkatan jenayah dan serangan oleh Israel terhadap rakyat Palestin.

“Sejak mesyuarat kita di sini tahun lepas, tentera Israel yang menduduki kawasan Palestin telah memperhebat keganasan mereka hingga menyebabkan Palestin kehilangan lebih banyak jiwa, termasuk 44 kanak-kanak dan 15 wanita, sementara lebih 15,000 rakyat Palestin cedera,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA