M’sia-Thai miliki hubungan rapat pelbagai bidang

M’sia-Thai miliki hubungan rapat pelbagai bidang

BANGKOK, 28 Feb (Bernama) – Malaysia dan Thailand memiliki hubungan dua hala yang amat rapat ketika ini dengan persefahaman baik merangkumi pelbagai bidang, kata Duta Malaysia di Thailand Datuk Nazirah Hussain hari ini.

Pada masa sama, katanya, pihak kedutaan akan terus melaksanakan pelbagai usaha untuk memastikan hubungan dua hala sedia ada dapat dipertingkatkan ke tahap yang lebih tinggi.

“Alhamdulillah, kedua-dua negara mempunyai hubungan yang amat rapat dan dalam banyak bidang kita sefahaman, kita sering bantu-membantu antara satu sama lain,” katanya kepada Bernama di Kedutaan Malaysia di sini baru-baru ini.

Hubungan dua hala yang baik itu dapat dilihat menerusi lawatan menteri-menteri Malaysia ke Thailand untuk meningkatkan lagi kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama, katanya.

Menurut Nazirah, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mustapa Mohamed akan berada di Bangkok pada 1-2 Mac ini untuk menghadiri seminar peluang pelaburan di Malaysia.

“Seminar akan mendedahkan syarikat-syarikat berpotensi Thailand tentang peluang pelaburan di Malaysia,” katanya sambil menambah Mustapa akan ke Chiangmai selepas itu untuk menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEC).

Syarikat-syarikat Thailand memiliki banyak potensi untuk meningkatkan pelaburan mereka di Malaysia, katanya.

Nazirah berkata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman juga dijadualkan menghadiri Dialog Kerjasama ASEAN (ACD) di Bangkok pada 10 Mac ini.

Hubungan dua hala yang amat baik antara Malaysia dan Thailand juga dapat dilihat ketika kedua-dua negara berhadapan tragedi kemalangan bas pelancong di Chiangmai tahun lepas yang mengorbankan 13 rakyat Malaysia, katanya.

Bagi mempercepatkan penghantaran pulang jenazah rakyat Malaysia, katanya, Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF) turut menyediakan sebuah pesawat C-130 Hercules, selain sebuah pesawat Hercules Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

ARTIKEL YANG SAMA