M’sia tidak teruk terjejas kelembapan dunia

M’sia tidak teruk terjejas kelembapan dunia

KUALA LUMPUR, 21 Jan – Meskipun ramai yang menjangkakan kejatuhan harga minyak mentah mungkin menyebabkan kelembapan ekonomi dunia, ahli dan pakar ekonomi yakin Malaysia tidak akan teruk terjejas.

“Kita tidak menuju kelembapan ekonomi walaupun sentimen pertumbuhan ekonomi dunia dibelenggu kebimbangan berikutan kenaikan kadar faedah US serta kelembapan ekonomi China”, kata Ketua Eksekutif Institut bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi, Wan Saiful Wan Jan.

Beliau berkata Malaysia tertekan akibat faktor luaran termasuk harga minyak yang rendah yang sudah agak lama iaitu antara dua dan tiga tahun, dan oleh itu tidak menjangkakan keadaan menjadi lebih buruk.

“Dalam konteks Malaysia, negara ini masih dianggap menarik kepada pelabur walaupun jumlahnya mungkin lebih kecil. Negara ini masih mencatat pertumbuhan walaupun hakikatnya ia tidak tumbuh secepat yang kita mahukan, namun tidak merosot dengan begitu teruk.

“Kita sedang pulih daripada kelembapan ekonomi,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu Naib Presiden dan Ketua Penyelidik Runcit Affin Hwang Investment Bank Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan yang berkongsi pandangannya mengenai unjuran global, berkata kegawatan ekonomi dunia dijangka tidak berlaku memandangkan kejatuhan harga minyak berpunca daripada lebihan bekalan, dan bukannya disebabkan oleh kurangnya permintaan. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA