M’sia tingkat kawalan keselamatan di perairan Sabah cegah kehadiran Maute

M’sia tingkat kawalan keselamatan di perairan Sabah cegah kehadiran Maute

KUALA LUMPUR, 1 Dis – Kawalan keselamatan di perairan negara dipertingkatkan bagi mencegah sebarang kehadiran dan insiden pencerobohan anggota militan Maute yang diserang Angkatan Tentera Filipina (ATF) bulan lepas, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

“Ini diambil bagi menghalang anggota militan (Maute) mendapat sebarang perlindungan pihak tertentu di negara ini,” kata Naib Presiden UMNO itu dalam sidang media selepas perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2016 di sini hari ini.

ATF dilaporkan melancarkan serangan ke atas penempatan kumpulan militan Maute di Butig, Lanao del Sur, Mindanao bagi mengusir mereka keluar sejak menguasai kawasan itu pada 24 November lalu.

Kumpulan militan bersenjata yang menumpahkan taat setia kepada militan Daesh itu dikenal pasti terlibat dalam serangan di Davao, Filipina pada 2 September lepas yang mengakibatkan 15 rakyat terbunuh.

Hishammuddin berkata laporan terkini yang diterima daripada ATF menunjukkan 19 anggota militan itu terbunuh manakala 13 anggota ATF tercedera dalam serangan berkenaan. “Ini menuntut kita supaya tidak mempolitikkannya dan membuat perancangan lebih rapi bersama rakan-rakan negara jiran lain,” katanya. – Bernama