M’sia tumpu u...

M’sia tumpu usaha muktamadkan RCEP

PONTIAN, 15 Feb – Malaysia akan terus menumpukan usaha untuk memuktamadkan rundingan Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) selepas Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) tidak dapat dilaksanakan.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan berkata RCEP yang merangkumi 16 negara itu mempunyai potensi besar untuk dimanfaatkan dengan jumlah pengguna kira-kira 3.5 bilion.

“Kita jangan rasa gundah gulana apabila TPPA ini tidak dapat dilaksanakan.

“Meskipun kita anggap ia sebagai satu peluang yang terlepas, tetapi ia bukan habis segalanya, oleh itu kita akan terus tumpukan usaha untuk kukuhkan perdagangan dengan negara yang dalam RCEP ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perancangan seterusnya oleh kementerian selepas TPPA gagal diteruskan susulan pengunduran Amerika Syarikat, di bawah pimpinan Presiden Donald Trump daripada perjanjian tersebut.

Datuk Ahmad Maslan menyerahkan bantuan peralatan perniagaan Akhiri Zaman Miskin (1AZAM) kepada Siti Rohani Tahir pada Majlis Penyerahan Bantuan Peralatan Program 1AZAM Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Peringkat Parlimen Pontian di Pusat Khidmat Api-Api,Pontian, Malaysia. - Bernama
Datuk Ahmad Maslan menyerahkan bantuan peralatan perniagaan Akhiri Zaman Miskin (1AZAM) kepada Siti Rohani Tahir pada Majlis Penyerahan Bantuan Peralatan Program 1AZAM Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Peringkat Parlimen Pontian di Pusat Khidmat Api-Api,Pontian, Malaysia. – Bernama

Ahmad berkata, potensi ASEAN juga yang dilihat masih besar dengan jumlah eksport Malaysia ke negara ASEAN sebanyak 30 peratus pada 2016.

Selain itu, bagi tujuan meningkatkan perdagangan, Malaysia turut melihat kepada pasaran baharu seperti negara-negara Afrika dan benua Amerika Selatan, katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga mempertimbangkan kemungkinan mengadakan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan negara anggota TPPA yang belum menjalin kerjasama itu dengan Malaysia.

“Kita dah ada FTA dengan tujuh negara TPPA. Kita masih belum ada dengan Kanada, Amerika Syarikat, Peru dan Mexico,” katanya.

Terdahulu, Ahmad menyampaikan bantuan peralatan 1AZAM kepada 74 penerima bantuan bagi peringkat Parlimen Pontian. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA