MSN lebur harapan Arsenal

MSN lebur harapan Arsenal

BARCELONA, 17 Mac (Reuters) – Lionel Messi, Luis Suarez dan Neymar (MSN) membuktikan mereka terlalu handal buat Arsenal apabila ketiga-tiganya meledak untuk membenam lawannya itu 3-1, sekali gus menyaksikan juara bertahan itu mara bergaya ke suku akhir Liga Juara Juara dengan agregat 5-1.

Neymar terlebih dulu meletak Barca di depan pada aksi yang didominasi tuan rumah, namun The Gunners mengikat kedudukan menerusi Mohamed Elneny bagi menghidupkan peluang buat pelawat selepas rehat masa pertama.

Namun, kebangkitan pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu terjejas apabila Suarez meledak gol kedua Barcelona selepas menyempurnakan hantaran lintang Dani Alves yang disudahkan dengan voli menarik.

Messi kemudian menamatkan malam bergaya Barcelona dengan jaringan ketiga dua minit sebelum tamat permainan dan gergasi Sepanyol itu kini tidak tewas dalam 38 perlawanan.

Keputusan itu juga sebaliknya mendatangkan tekanan kepada pengendali Arsenal, Arsene Wenger yang ketinggalan 11 mata di belakang pendahulu liga, Leicester City selain turut terkandas daripada saingan Piala FA, hujung minggu lalu.

Neymar meraikan jaringan bersama Messi dan Suarez pada pusingan kedua 16 perlawanan terakhir Liga Juara-Juara di Barcelona. Trio MSN itu membuktikan kehebatan mereka membenam Arsenal dengan jaringan 3-1. – Reuters
Neymar meraikan jaringan bersama Messi dan Suarez pada pusingan kedua 16 perlawanan terakhir Liga Juara-Juara di Barcelona. Trio MSN itu membuktikan kehebatan mereka membenam Arsenal dengan jaringan 3-1. – Reuters

“Kami memiliki peluang namun kami gagal menyempurnakannya. Tetapi kami harus mengucapkan selamat berjaya kepada Barcelona.

Mereka memiliki beberapa pemain terbaik yang mampu mengubah perlawanan,” katanya.

Barcelona terlebih dulu menguji gawang Arsenal namun ketangkasan Ospina berjaya menafikan cubaan Messi sebelum Neymar membuka gol pendahuluan selepas 18 minit aksi berlangsung.

Arsenal cuba mengasak pertahanan Barcelona dan mengikat kedudukan enam minit selepas babak kedua berlangsung menerusi rembatan Elneny dari jarak 20 meter.

Ketika Arsenal dilihat mampu bangkit untuk mencipta kejutan, jaringan Suarez dan Messi akhirnya melenyapkan harapan Arsenal untuk mara ke suku akhir.

“Kami tahu mereka mampu memberi cabaran dan menjaringkan gol untuk mengikat kami.

“Tetapi di penghujungnya, kami membuktikan kami lebih kuat berbanding mereka dan memanfaatkan aksi di laman sendiri sepenuhnya,” kata Suarez.

Meskipun kecewa, Wenger tidak dapat menyembunyikan pujian ke atas Barcelona dengan berkata “kami kecewa dengan keputusan itu tetapi kami bermain dengan pasukan yang memiliki tiga penyerang terbaik pernah saya saksikan”.

ARTIKEL YANG SAMA