MSN United FC kekalkan kemenangan

MSN United FC kekalkan kemenangan

Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Feb – Aksi Kumpulan A, Liga Bolasepak Daerah Brunei dan Muara 2015 malam tadi sekali lagi menyaksikan pesta gol apabila pertembungan dua pasukan belum pernah tewas, MSN United FC dan Sporting Family Team menghasilkan tujuh gol yang memihak MSN United FC dengan jaringan 5-2.

MSN United FC sudah awal mengamuk dengan ledakan empat gol pada 34 minit pertama perlawanan untuk mendahului 4-0 sebelum Faiznur Khasmin bin Mohammad menjaringkan gol semangat buat Sporting Family Team pada minit ke-41 untuk membawa kedudukan 4-1 ke separuh masa kedua.

Huzaimi bin Haji Tengah dan Mohd Syakiran bin Sabtu masing-masing menyumbangkan dua gol buat MSN United FC dengan Huzaimi meledakkan dua gol awal iaitu pada minit ke-8 dan 21, sebelum ditambah oleh Mohd Syakiran dengan jaringannya pada minit ke-22 dan 34.

Hanya tiga minit selepas rehat, Faiznur Khasmin sekali lagi menemui sasarannya di gawang MSN United FC untuk mencantas pendahuluan MSN United FC kepada dua gol sahaja sekaligus menyuntik semangat kebangkitan untuk sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri 4-4.

MSN United FC kini mengemudi Kumpulan A selepas memberi kekalahan pertama kepada Sporting Family Team.
MSN United FC kini mengemudi Kumpulan A selepas memberi kekalahan pertama kepada Sporting Family Team.

Tetapi ternyata perlawanan berlangsung sepi tanpa jaringan dihasilkan lagi sehinggalah Mohd Syakiran mencetak hatriknya seminit sebelum perlawanan tamat sekaligus mematahkan semangat kebangkitan lawan, yang terpaksa akur menerima kekalahan pertamanya pada kedudukan 2-5.

Ia menjadi kekalahan pertama buat Sporting Family Team yang sebelum ini mencatat tiga kemenangan berturut-turut, sekaligus menyebabkannya jatuh ke tangga ketiga dari tangga kedua Kumpulan A berkenaan. Walau bagaimanapun ia masih berpeluang untuk mara ke peringkat seterusnya jika mampu meraih kemenangan pada perlawanan terakhir peringkat kumpulannya menentang PESEJA United nanti.

MSN United FC kini mengemudi Kumpulan A dengan 11 mata dari lima perlawanan, dua mata di depan IKERAB FC yang juga sudah menamatkan kempen kumpulannya dengan catatan 17 jaringan dan 13 bolos untuk perbezaan gol +4, sedang Sporting Family Team yang masih berbaki satu perlawanan mencetak 11 jaringan dan 11 bolos.

Seri Wira FC (4 mata dari 4 perlawanan) dan Dagang FC (0 mata dari 4 perlawanan) sudah terkeluar daripada persaingan merebut Tempat Kedua Teratas Kumpulan A, tetapi PESEJA United yang baru bermain dua kali dengan catatan 1 mata masih berpeluang jika menang ketiga-tiga baki perlawanannya.

ARTIKEL YANG SAMA