MSN United mara pusingan akhir

MSN United mara pusingan akhir

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Mac – MSN United FC melengkapkan kuota tiga pasukan di pusingan akhir Liga Bolasepak Daerah Brunei dan Muara 2015 selepas menang tipis 1-0 ke atas naib juara Kumpulan C, Plan Batu malam tadi di Kompleks Sukan Sungai Kebun (KSSK).

Awang Huzaimi bin Haji Tengah muncul wira meledakkan jaringan tunggal perlawanan pada minit ke-25 yang membawa juara Kumpulan A itu mara ke pusingan akhir untuk bertemu dengan dua pasukan yang sudah mara lebih awal iaitu juara Kumpulan C, DSP United FC dan juara Kumpulan B, Al-Idrus Junior FT.

Fakta menarik untuk diketahui adalah ketiga-tiga pasukan yang akan bertarung di pusingan akhir itu nanti merupakan juara dalam kumpulan masing-masing, sekali gus menjadikan pusingan akhir itu menjadi perhitungan antara juara-juara.

DSP United FC mara selepas menundukkan naib juara Kumpulan B, Seri Bolkiah FC dengan jaringan 2-1 pada 29 Februari yang lalu, manakala Al-Idrus Junior FT menjinakkan naib juara Kumpulan A, IKERAB FT dengan jaringan 4-1 pada 1 Mac lepas.

MSN United FC menang tipis 1-0 ke atas Plan Batu untuk mara ke pusingan akhir Liga Bolasepak Daerah Brunei & Muara 2015.
MSN United FC menang tipis 1-0 ke atas Plan Batu untuk mara ke pusingan akhir Liga Bolasepak Daerah Brunei & Muara 2015.

Pusingan akhir akan bermula pada Sabtu, 5 Mac ini pada pukul 8 malam di KSSK dengan perlawanan antara DSP United FC dengan Al-Idrus Junior FT.

Perlawanan kedua pusingan akhir yang dijalankan secara liga satu pusingan (round robin) itu akan mempertemukan MSN United FC dengan pasukan yang tewas pada perlawanan pertama antara DSP United FC dengan Al-Idrus Junior FT pada Isnin, 7 Mac, juga bermula pukul 8 malam di KSSK.

Manakala perlawanan ketiga dan terakhir pusingan akhir berkenaan akan mempertemukan antara pasukan yang menang pada perlawanan pertama dengan pasukan yang menang pada perlawanan kedua pada Rabu, 9 Mac, pada masa dan tempat yang sama.

ARTIKEL YANG SAMA