MSPDB B juarai takraw pantai kebangsaan 2016

MSPDB B juarai takraw pantai kebangsaan 2016

Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mei – Pasukan Majlis Sukan Polis Diraja Brunei (MSPDB) menguasai Kejohanan Sepak Takraw Pantai Kebangsaan bagi tahun 2016 apabila kedua-dua pasukannya berjaya beraksi pada perlawanan akhir kejohanan tersebut yang diadakan di Kompleks Sukan Menglait, hari ini.

Pasukan MSPDB B memanfaatkan pengalamannya apabila membariskan semua pemain senior untuk berhadapan Pasukan MSPDB A yang dibarisi pemain-pemain muda. Pada set pertama Pasukan MSPDB B menang ke atas Pasukan MSPDB A dengan mata 16-21 sebelum sekali lagi mempamerkan permainan yang tenang pada set kedua apabila menang 19-21 untuk menjadikan mata keseluruhan 2-0.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada barisan pemenang ialah Pemangku Pengarah Gerakan Pasukan Polis Diraja Brunei, SUPT Kanan, Pengiran Haji Mohd bin Pengiran Haji Metali.

Sebelum ini pada peringkat separuh akhir Pasukan MSPDB B menewaskan Pasukan Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, sementara itu Pasukan MSPDB A pula menewaskan Pasukan Brunei 88 A. Sejurus selepas perlawanan tersebut, Penolong Pengurus Pasukan Sepak Takraw MSPDB Mohd Saiful Nizam bin Sabli menyatakan perasaan berbesar hati dengan pencapaian kedua-dua pasukan.

Gambar ramai para peserta bersama Pengiran Haji Mohd selepas kejohanan beakhir.
Gambar ramai para peserta bersama Pengiran Haji Mohd selepas kejohanan beakhir.

“Sebelum ini pasukan kami hanya berjaya meraih naib juara dan pada saya pencapaian hari ini adalah hasil kerja keras dan usaha setiap pemain untuk menjalani latihan dengan jitu dan disiplin yang tinggi,” ujarnya.

Menurutnya lagi, pemain berpengalaman di dalam Pasukan B merupakan gabungan pilihan dan sekali gus sebagai platform latihan gabungan dan persefahaman bagi pasukan dalam skuad B supaya mereka dapat meraih pengalaman.

“Saya berharap Pasukan A akan dapat menerima kekalahan secara positif dan sekali gus mempertingkatkan pencapaian mereka di masa akan datang,” nasihatnya kepada barisan pemain muda MSPDB B.

“PDB akan mengadakan kejohanan dalaman pada September sebagai platform menilai prestasi pemain dan berpasukan selain berlatih untuk pesta sukan kementerian-kementerian dan pesta sukan kebangsaan kali ini,” ujarnya lagi.

Mengulas mengenai pasukan muda MSPDB A yang padanya lebih agresif dengan serangan sehingga membolehkan Pasukan B untuk menghidu pembukaan di dalam gelanggang Pasukan A.

“Namun begitu saya yakin perjalanan mereka masih jauh dan masih banyak ruang untuk memperbaiki pencapaian dan prestasi masing-masing,” tegasnya.

ARTIKEL YANG SAMA