MSSSBD adakan pemilihan Futsal ke ASG8

MSSSBD adakan pemilihan Futsal ke ASG8

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Feb – Majlis Sukan Sekolah-sekolah Brunei Darussalam (MSSSBD) kini sudah mula mengadakan Sesi Pemilihan/Ujicuba (trial) bagi acara sukan futsal untuk Sukan Sekolah-sekolah ASEAN Kali Ke-8 (ASG8), 2016 di Chiangmai, Thailand.

Dua sesi pemilihan telah pun dijalankan setakat ini di dua tempat dan tarikh berbeza yang telah dibukakan kepada semua pelajar sekolah di negara ini yang berusia 16 hingga 18 tahun.

Sesi pertama telah dijalankan pada petang Sabtu, 13 Februari yang lalu di gelanggang futsal Politeknik Brunei, manakala sesi kedua telah berlangsung pada pagi hari Ahad, 21 Februari baru-baru ini di gelanggang futsal Sekolah Sukan, Negara Brunei Darussalam.

Pada sesi pertama seramai lebih 40 orang pemain yang berharap untuk terpilih telah hadir mempamerkan bakat masing-masing dan pada sesi kedua pula seramai 20 orang daripada mereka telah dipanggil semula, di samping kedatangan mereka yang belum mengikuti sesi pertama masih lagi diterima.

Kalangan pelajar berusia 16-18 tahun yang mengikuti Sesi Ujicuba Futsal ASG2016 di Sekolah Sukan berkenaan.
Kalangan pelajar berusia 16-18 tahun yang mengikuti Sesi Ujicuba Futsal ASG2016 di Sekolah Sukan berkenaan.

Kedua-dua sesi pemilihan berkenaan telah dikendalikan oleh Ketua Jurulatih Futsal ASG8 Negara Brunei Darussalam, Awang Mohammad Helmi bin Panjang dan penolongnya, Awang Faizul Jefry bin Haji Zaini. Pengurus Pasukan pula ialah Guru Kanan Sekolah Sukan, Awang Azrin bin Aji.

Dalam temu bual bersama Media Permata, Awang Faizul Jefry menyatakan mereka merancang untuk mengadakan dua lagi sesi pemilihan yang akan dibukakan kepada semua pelajar berumur 16-18 tahun yang berminat dan belum menghadiri kedua-dua sesi pemilihan sebelum ini.

Menurutnya, bergantung kepada keputusan Mesyuarat Pengurus-pengurus Pasukan pada Mac nanti, mereka berharap untuk menyenaraipendekkan seramai 12 atau 15 pemain untuk mewakili MSSSBD dalam ASG8 yang akan berlangsung pada 21-29 Julai 2016 nanti.