MTSSR anjur kursus Fardu Ain

MTSSR anjur kursus Fardu Ain

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Jun – Jawatankuasa Takmir Surau Maktab Teknik Sultan Saiful Rijal (MTSSR) telah menganjurkan Kursus Fardu Ain Bagi Kakitangan Kerajaan Lelaki, yang berlangsung di dewan maktab tersebut di Jalan Muara, hari ini.

Kira-kira 80 pegawai lelaki dari jabatan-jabatan kerajaan telah diundang untuk menghadiri kursus tersebut yang bermula sejak 22 Jun hingga 25 Jun, manakala kursus bagi kakitangan wanita akan bermula pada 29 Jun hingga 2 Julai ini.

Menurut Pegawai Masjid yang juga Ketua Imam Surau MTSSR, Haji Mohammad Ashraf bin Haji Bujang, kursus fardu ain itu adalah yang pertama kali diadakan di maktab itu dan ia membincangkan mengenai bab berkaitan sembahyang dan puasa.

“Antara masalah yang dibincangkan dalam kursus itu adalah masalah lazim seperti isu yang berkenaan dengan masbuk dan apa yang harus dibuat apabila seseorang itu ketinggalan rukun sembahyang,” ujarnya.

Penceramah undangan yang dijemput untuk menyampaikan ceramah di kursus berkenaan.
Penceramah undangan yang dijemput untuk menyampaikan ceramah di kursus berkenaan.

Katanya lagi, kursus itu juga membincangkan mengenai kemusykilan-kemusykilan lazim yang dihadapi semasa menunaikan ibadah puasa seperti isu mengenai menggabungkan ibadah puasa Ramadan dengan puasa sunat dan puasa qada serta perkara berkaitan dengan pembayaran fidyah bagi orang sakit dan amil.

Menurut beliau, dua pegawai agama dari Bahagian Latihan dan Bimbingan, Jabatan Hal Ehwal Masjid, iaitu Haji Sahari bin Haji Sulaiman telah diundang bagi membincangkan mengenai bab sembahyang manakala penceramah kedua ialah Awang Aminur bin Yaakub yang membincangkan mengenai perkara puasa.

Haji Mohammad Ashraf turut menyuarakan rasa gembira kerana walaupun kursus itu adalah yang pertama kali bagi Surau MTSSR, penganjurannya itu telah mendapat sambutan menggalakkan daripada jabatan kerajaan serta acara keagamaan seperti itu mungkin akan dijadikan aktiviti tahunan bagi surau itu pada tahun-tahun akan datang.

ARTIKEL YANG SAMA