Mubarak, Bismi tempah buku lebih awal

Mubarak, Bismi tempah buku lebih awal

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 15 Dis – Para penduduk di Daerah Tutong khususnya para ibu bapa yang ingin membuat persiapan membeli buku atau peralatan sekolah untuk anak-anak mereka tidak perlu pergi jauh mencari buku-buku untuk anak-anak mereka.

Ini kerana kedai-kedai buku di daerah ini seperti Kedai Mubarak Book Emporium dan Kedai Buku Bismi Trading Sdn Bhd sudahpun menempah lebih awal dan menyediakan buku-buku teks atau latihan yang diperlukan.

Salah seorang pekerja di Bismi Trading Sdn Bhd, Awang Mohd Salim memberitahu Media Permata, ibu bapa tidak perlu risau dengan ketidakcukupan buku teks atau latihan kerana mereka sudahpun menyediakan banyak stok buku-buku teks atau latihan yang diperlukan dan tempahan sudahpun diberitahu lebih awal lagi.

Beliau juga memberitahu bahawa pada masa ini mereka sudahpun sibuk menyediakan barang-barang persekolahan untuk disusun dan dipamerkan kerana terdapat sebilangan ibu bapa sudahpun membeli peralatan sekolah untuk anak-anak mereka lebih awal.

Dayang Nurul Afifah mengakui mereka kini sibuk menyusun dan menyediakan barang-barang keperluan persekolahan.
Dayang Nurul Afifah mengakui mereka kini sibuk menyusun dan menyediakan barang-barang keperluan persekolahan.

Menurutnya lagi, pada bulan ini, mereka juga mengambil empat orang pekerja sementara yang terdiri daripada pelajar-pelajar tempatan yang sedang menunggu keputusan peperiksaan ‘O’level bagi membantu mereka dalam melancarkan lagi perniagaan.

Dayang Nurul Afifah binti Mohd Yusry, 18, yang baru sahaja bekerja di kedai buku itu belum sampai sebulan mengakui beliau sudahpun sibuk menyusun peralatan persekolahan termasuk buku-buku dan membantu ibu bapa untuk mencari buku atau alat-alat persekolahan yang diperlukan.

Awang Yusuf dan para pekerja bersedia membantu ibu bapa dan penjaga untuk mencari barang-barang persekolahan anak-anak mereka.
Awang Yusuf dan para pekerja bersedia membantu ibu bapa dan penjaga untuk mencari barang-barang persekolahan anak-anak mereka.
Antara buku-buku yang ditempah lebih awal.
Antara buku-buku yang ditempah lebih awal.

Manakala, di Syarikat Mubarak Book Emporium, Awang Yusuf Andi memberitahu media bahawa kedai mereka juga sudah pun menerima stok buku teks dan latihan persekolahan berulang kali daripada Jabatan Ko-Kurikulum, Kementerian pendidikan bagi mengelakkan kekurangan buku dan pada masa ini, buku-buku sudah banyak disediakan dan disusun mengikut tahun-tahun untuk kemudahan ibu bapa mencari buku-buku yang dikehendaki.

Beliau juga memberitahu bahawa mereka sudahpun sibuk menyediakan barangan persekolahan lebih awal sejak 7 Disember lalu kerana syarikat tersebut juga menyertai ‘Brunei Grand Sale’.

Oleh itu, semua harga barang yang dijual di kedai buku berkenaan perlu ditukar dan harganya lebih murah daripada sebelumnya, jelasnya lagi.

Bagi mengelakkan kesibukan, mereka juga turut mengambil tiga orang pekerja tempatan untuk membantu para ibu bapa dan penjaga mencari keperluan barang-barang persekolahan anak-anak mereka.

ARTIKEL YANG SAMA