Mubarak tawar potongan harga menarik

Mubarak tawar potongan harga menarik

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Dis – Bersempena dengan jualan istimewa hujung tahun Brunei Salebration yang bermula sejak 7 Disember lalu sehingga 8 Februari tahun depan, kedai buku Mubarak Book Emporium (MBE) telah menawarkan potongan harga sehingga 70 peratus bagi kebanyakan jenis barangan termasuk buku-buku, peralatan tulis dan banyak lagi.

MBE, dalam kenyataannya menyatakan, pihak mereka telah menyediakan produk-produk berkualiti pada harga yang berpatutan, di samping menawarkan tawaran-tawaran hebat kepada para pelanggan.

Selain itu, MBE juga akan memberikan diskaun tambahan kepada pemegang kad MBE. Kad keahlian berkenaan bukan sahaja memberikan diskaun kepada pelanggan malah memberikan mata ganjaran (points).

Menurut kenyataan itu lagi, bagi pelanggan yang berjaya mengumpul sehingga 500 mata ganjaran akan diberikan baucar bernilai $10, yang boleh digunakan di mana-mana cawangan MBE di negara ini.

Mubarak yang dikenali sebagai kedai buku yang menawarkan harga terendah bagi jualan produk majalah ini juga telah menawarkan potongan harga hampir 30 peratus bagi produk-produk barangan dari Malaysia seperti majalah, buku dan alat tulis. Potongan harga tersebut juga sepadan dengan kadar pertukaran semasa di Malaysia.

pg08_151226_a

Antara produk barangan dengan tawaran harga rendah yang boleh didapati di kedai tersebut.
Antara produk barangan dengan tawaran harga rendah yang boleh didapati di kedai tersebut.

“Selama lebih 40 tahun, kami memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat dan kita menjangkakan bahawa jika penduduk di sini akan menyokong perniagaan tempatan, ia akan memberikan bantuan yang besar kepada kita dalam menyokong industri tempatan,” jelas Pengurus Besar MBE, Hameem Mubarak.

Di samping itu, pada tahun 2016, syarikat berkenaan akan melancarkan ‘Mubarak Book Emporium Online Shopping’ yang bakal menjadikan syarikat kedai buku pertama yang melancarkan pembelian secara online di Brunei.

Buat masa ini, MBE sedang giat berusaha dalam platform E-Perdagangan dan bekerjasama dengan syarikat-syarikat kiriman berhubung dalam perkhidmatan penghantaran ke rumah-rumah pelanggan.

Menerusi laman sesawang itu nanti, MBE juga akan menawarkan produk-produk tempatan dan luar negara, untuk membantu MBE mencapai pasaran yang lebih luas di Brunei, di samping menjana lebih banyak jualan dan mengurangkan inventori pada masa hadapan.

ARTIKEL YANG SAMA