Mudahkan baik pulih pendakian

Mudahkan baik pulih pendakian

SANDAKAN, 28 Jun (Bernama) – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman menghargai sumbangan RM10 juta daripada Kerajaan Pusat untuk Taman-taman Sabah bagi membaik pulih kemudahan pendakian Gunung Kinabalu yang rosak akibat gempa bumi bulan lepas.

Beliau berkata kerajaan negeri dan Taman-Taman Sabah berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengotakan janji beliau untuk membantu susulan gempa bumi di Ranau.

“Janji memberi sumbangan RM10 juta itu diumumkan beliau ketika melawat Ranau pada 9 Jun selepas berlakunya gegaran yang mengorbankan 18 nyawa dan menyebabkan kerosakan harta benda khususnya kemudahan pendakian Gunung Kinabalu.

“Dengan adanya sumbangan ini, ia dapat memudahkan dan melancarkan lagi usaha Taman-Taman Sabah untuk membaiki laluan serta kemudahan pendakian Gunung Kinabalu,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Ramadan kepada penduduk kampung Padas dekat sini.

Beliau menyampaikan sumbangan Pusat Zakat Sabah dan UMNO Bahagian Libaran itu kepada 1,660 penerima dari kawasan Parlimen Libaran di Dewan Rancangan Luboh dan Masjid Padas, Batu 12 di sini.

Musa berharap kerja-kerja membaik pulih kerosakan akibat gempa bumi di Ranau pada 5 Jun lepas berjalan lancar dan dipermudahkan bagi membolehkan aktiviti di kawasan berkenaan khususnya pendakian Gunung Kinabalu dibuka semula.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Masidi Manjun dalam Twitter beliau hari ini turut berterima kasih kepada Najib kerana meluluskan peruntukan RM10 juta itu untuk Taman-Taman Sabah.

ARTIKEL YANG SAMA