Mudahkan industri pengangkutan darat

Mudahkan industri pengangkutan darat

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Ogos – Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Kementerian Perhubungan dalam usaha berterusan bagi memudah cara perkembangan industri pengangkutan darat sedang melihat kepada usaha bagi melaksanakan projek pembangunan sumber manusia jabatan tersebut dengan mengambil pendekatan serta panduan dari hasil kejayaan kerjasama di antara Kementerian Pendidikan dan Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam meningkatkan kecekapan industri Sektor Tenaga melalui program Rangka kerja Kecekapan Industri di Sektor Tenaga (EICF).

“Mengambil kira dan mempelajari inisiatif Jabatan Tenaga dan di samping akan terus bekerjasama dengan pihak Jabatan Tenaga di JPM, JPD sedang menerokai untuk mengenal pasti keperluan tenaga manusia dan kemahiran yang diperlukan dalam sektor pengangkutan darat.

“Dalam hubungan ini, JPD sedang berbincang dengan rakan-rakan di industri pengangkutan darat yang berkaitan seperti Persatuan Peniaga Automobil Brunei (PPAB), pengusaha-pengusaha pengangkutan awam, bengkel kenderaan bermotor serta kedai alat ganti dan aksesori, untuk mengumpulkan data dan maklumat yang berkaitan sebelum usaha sama ini dibincangkan dengan lebih lanjut bersama pihak Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) dan agensi-agensi lain.”

Perkembangan itu dikongsi oleh Pengarah Jabatan Pengangkutan Darat, Dr Haji Supry bin Haji Awang Ladi ketika berucap di Majlis Suai Kenal Pengambilan Pertama bagi Program HNTEC & NTEC, IBTE, Kampus Pusat Latihan Mekanik, hari ini.

Beliau turut berkata bahawa JPD terus melaksanakan inisiatif dan strategi dalam sektor pengangkutan darat untuk merealisasikan visi jabatan berkenaan iaitu ke arah rangkaian pengangkutan darat yang cekap, berkesan, selamat dan bersepadu.

Dr Haji Supry mengongsi perkembangan terkini dalam usaha JPD untuk memudah cara perkembangan industri pengangkutan darat termasuk usaha bagi melaksanakan projek pembangunan manusia.
Dr Haji Supry mengongsi perkembangan terkini dalam usaha JPD untuk memudah cara perkembangan industri pengangkutan darat termasuk usaha bagi melaksanakan projek pembangunan manusia.

Segala inisiatif dan strategi yang dilaksanakan adalah bertepatan dengan peranannya sebagai agensi pengawal selia dan penguat kuasa industri pengangkutan darat yang bermatlamat untuk mewujudkan sistem pengangkutan darat yang berkesan, mudah dan selamat serta meningkatkan sumbangan sektor industri pengangkutan darat kepada perkembangan ekonomi negara.

Di samping itu, ia juga berperanan bagi meningkatkan tahap keselamatan jalan raya dan kenderaan serta kepatuhan orang ramai terhadap undang-undang dan peraturan lalu lintas jalan raya.

Beliau menyatakan bahawa antara inisiatif dan strategi yang dilaksanakan oleh jabatannya adalah termasuk pengenalan Sistem Pengangkutan Darat (SPD), pelaksanaan perkhidmatan Sistem Atas Talian (Online System) membaharui lesen memandu dan lesen kenderaan, penguatkuasaan Sistem Mata Demerit (SiKAP), penyediaan pelan induk dan pelancaran kertas putih pengangkutan darat negara, penerbitan buku, Safe and Smart Driving in Brunei Darussalam serta pengenalan aplikasi mudah alih, SiKAP dan perkhidmatan pesanan ringkas JPD.

Inisiatif Kementerian Perhubungan melalui Jabatan Pengangkutan Darat ini adalah beberapa usaha yang menjurus ke arah keberkesanan sistem dan pemberian perkhidmatan yang lebih berkesan dan memudah cara urusan orang ramai.

ARTIKEL YANG SAMA