Mueller bantu Bayern ke final

Mueller bantu Bayern ke final

MUNICH, 20 April (AFP) – Bayern Munich berada pada landasan tepat untuk memenangi kejuaraan berganda musim ini selepas mengesahkan tempat di final Piala Jerman, awal pagi tadi.

Pada aksi separuh akhir, Thomas Mueller muncul wira Bayern selepas dua jaringannya membantu skuad itu menewaskan Werder Bremen 2-0.

Mueller kini mengumpul 31 gol dalam semua pertandingan dengan pemain berusia 26 tahun itu meletakkan tuan rumah di depan pada separuh masa pertama, kemudian menyempurnakan sepakan penalti apabila Arturo Vidal dijatuhkan.

Bayern mara ke final buat kali ke-21 yang akan berlangsung pada 21 Mei depan di Stadium Olimpik Berlin selepas mendominasi permainan dengan 70 peratus penguasaan bola mengatasi Bremen.

Mueller meraikan jaringan pembukaan pada aksi Piala Jerman (DFB Pokal) menentang Werder Bremen di stadium Allianz Arena di Munich, kelmarin. – AP
Mueller meraikan jaringan pembukaan pada aksi Piala Jerman (DFB Pokal) menentang Werder Bremen di stadium Allianz Arena di Munich, kelmarin. – AP

“Perkara yang paling penting adalah kami mara ke final. Tapi kami melakukan terlalu banyak kesilapan dan ia bukan satu permainan yang menyenangkan bagi kami,” kata Mueller.

“Kami boleh bermain lebih baik, tapi ia adalah satu perasaan yang bagus untuk menampilkannya pada perlawanan akhir.”

Gergasi Bavaria itu akan berdepan sama ada Borussia Dortmund atau Hertha Berlin, yang bertarung dalam satu lagi separuh akhir awal pagi esok dengan mereka sudah menjulang trofi berkenaan 17 kali.

Ia menyaksikan Bayern berpeluang mengulangi kejuaraan berganda yang diraih mereka pada 2013 dan kali ini adalah tahun ketiga dan terakhir Pep Guardiola bersama Munich sebelum jurulatih itu berhijrah ke Manchester City musim depan.