Mufti Kerajaan sampai Kertas Perdana di Johor

Mufti Kerajaan sampai Kertas Perdana di Johor

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Mei – Mufti Kerajaan Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Abdul Aziz bin Juned berlepas ke Johor, Malaysia hari ini di mana beliau akan menyampaikan Kertas Perdana pada Majlis Perasmian Seminar Bicara Tokoh Antarabangsa Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr Haji Ismail Bin Omar Abdul Aziz, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Johor (PERSADA), Johor Bahru esok.

Turut berlepas ke Johor hari ini ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman dan Ahli Majlis Mesyuarat Diraja, Yang Berhormat Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja Dato Seri Utama Dr. Ustaz Haji Mohd. Zain bin Haji Serudin berserta beberapa pegawai kerajaan yang lain.

Yang Berhormat Pehin Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin dan Yang Berhormat Pehin Dato Seri Utama Dr Ustaz Mohd Zain, juga akan membentangkan kertas kerja pada seminar itu nanti. Tokoh lain dari Brunei yang juga akan membentangkan kertas kerja mereka ialah Rektor Universiti Sultan Sharif Ali, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal dan Ketua Pegawai Istinbat Jabatan Mufti Kerajaan Dr Haji Japar Haji Maidin.

Rombongan Jabatan Mufti turut disertai oleh Ketua Teknik Penerbitan Jabatan Mufti Kerajaan, Awang Osman bin Abu Bakar dan Ulama Tarbiah Fatwa Jabatan Mufti Kerajaan, Haji Jakaria bin Haji Itam.

Yang Berhormat Mufti Kerajaan (5 dari kiri); Yang Berhormat Pehin Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin (4 dari kiri) dan Yang Berhormat Pehin Dato Seri Utama Dr Ustaz Haji Mohd Zain (3 dari kiri) serta pegawai-pegawai kerajaan yang lain bergambar ramai sejurus sebelum berlepas ke Johor Bahru.
Yang Berhormat Mufti Kerajaan (5 dari kiri); Yang Berhormat Pehin Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin (4 dari kiri) dan Yang Berhormat Pehin Dato Seri Utama Dr Ustaz Haji Mohd Zain (3 dari kiri) serta pegawai-pegawai kerajaan yang lain bergambar ramai sejurus sebelum berlepas ke Johor Bahru.

Sempena seminar dua hari itu yang berlangsung sehingga 7 Mei, satu pameran Tokoh Ulama Nusantara: Pehin Datu Seri Utama Dr Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz anjuran bersama Balai Pameran Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Yayasan Warisan Johor turut diadakan bermula 6 Mei sehingga 10 Mei 2015.

Seminar dan pameran itu adalah bersempena dengan Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim. Pameran tersebut kemudian akan dipindahkan ke Muzium Tokoh Johor untuk tontonan orang ramai selama empat bulan.

Ia dihasratkan untuk meningkatkan hubungan rapat dua kesultanan dan negeri yang sudah terjalin sejak sekian lama dalam sejarah dan sebagai wadah menelusuri jiwa keilmuan dan sumbangan ummah tokoh berkenaan kepada negara, bangsa dan agama.

ARTIKEL YANG SAMA