Mufti Kerajaan sampaikan kuliah ulang tahun UBD

Mufti Kerajaan sampaikan kuliah ulang tahun UBD

Oleh Osman Abu Bakar

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Feb – Universiti Brunei Darussalam (UBD) akan menganjurkan siri Kuliah Ulang Tahun ke-30nya bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-30 dan bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Pusat Pengajian Islam Sultan Omar ‘Ali Saifuddien (SOASCIS), bermula Khamis (11 Februari) ini.

Kuliah pertama selaku pembuka tirai akan disampaikan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned (gambar).

Di kuliah yang pertama ini, Yang Berhormat Pehin akan menyampaikan kuliah bertajuk “Masa Depan Pengajian Tinggi Islam di Negara Brunei Darussalam: Harapan dan Cabaran.”

Menurut Profesor Datuk Dr Osman Bakar, Professor Unggul di UBD dan Pengarah Pusat Pengajian Islam Sultan Omar ‘Ali Saifuddien (SOASCIS) selaku Pengerusi Majlis Syarahan, siri kuliah tersebut akan diaturkan sepanjang tahun ini.

pg02_160210_a

Profesor Datuk Dr Osman Bakar.
Profesor Datuk Dr Osman Bakar.

Katanya, pemilihan Yang Behormat Pehin sebagai pemidato khas pertama siri kuliah tersebut ialah kerana tiada orang yang lebih berwibawa selain beliau selaku ulama berwibawa di rantau ini.

Menurutnya lagi, seramai 200 orang akan dijemput menghadiri kuliah pertama itu, terdiri daripada ahli-ahli akademik dalam semua bidang pengajian tinggi Islam dan pelajar ijazah tinggi yang sedang membuat sarjana dan PhD dari seluruh institut pengajian tinggi (IPT) di negara ini.

Di samping itu orang ramai yang berminat juga adalah dipersilakan hadir, tambah beliau.

Ditanya mengenai matlamat utama program tersebut, Profesor Datuk Dr Osman Bakar berkata, program itu bertujuan untuk menggalakkan perbincangan ilmiah dalam kalangan pensyarah dan pelajar dalam pengajian Islam tentang isu-isu penting dalam bidang berkenaan demi menyumbang kepada kemajuan Negara Brunei Darussalam terutama dalam melahirkan sarjana dan PhD dalam pengajian Islam.

“Adalah juga diharapkan, program ini akan dapat menjadi pencetus dan perangsang kemajuan akademik Islam di samping mengharapkan agar ahli akademik dan pelajar akan dapat melihat isu-isu dalam pengajian Islam yang relevan dalam bidang masing-masing,” katanya sambil menambah bahawa kuliah tersebut akan diadakan di Bilik Senat, Dewan Canselor, UBD bermula jam 9 pagi.

ARTIKEL YANG SAMA