Mufti kerajaan ungkap ketokohan Pehin Haji Ismail

Mufti kerajaan ungkap ketokohan Pehin Haji Ismail

Oleh Osman Abu Bakar

 

JOHOR BAHRU, 6 Mei – Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama (Dr.) Haji Ismail bin Umar Abdul Aziz merupakan seorang tokoh besar dan sejarah hidup beliau elok disebut-sebut atau dikenang-kenang kerana sejarah mana-mana tokoh itu biasanya boleh menjadi penawar atau iktibar bagi orang lain.

Mufti Kerajaan Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned berkata, Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Haji Ismail dikaitkan dengan Brunei kerana sejarah unik beliau yang rapat dengan hasrat seorang sultan yang cintakan ulama iaitu al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan Brunei yang ke-28.

“Atas perkenan dan kemahuan bagindalah, Haji Ismail bin Umar Abdul Aziz buat pertama kalinya menjejakkan kaki ke Brunei iaitu pada akhir 1954 sehingga awal 1955, kemudian datang kali kedua pada 1962.

“Kedatangan pertama kali beliau ialah sebagai ahli kumpulan peninjau bagi cadangan mendirikan sekolah agama di Brunei diketuai oleh Allahyarham Tuan Haji Muhammad Said, bekas ketua pemeriksa sekolah-sekolah agama kerajaan Johor,” katanya mengimbas kembali latar belakang bekas Mufti Brunei yang pertama itu semasa menyampaikan Kertas Perdana pada Seminar Bicara Tokoh Antarabangsa Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama (Dr) Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Johor (PERSADA), Johor Bahru, Johor, hari ini.

Menurut Yang Berhormat Pehin, beliau (Pehin Dr Haji Ismail) dan Tuan Haji Muhammad Said diberi tugas untuk mengkaji cadangan penubuhan sekolah agama di Brunei. Setelah melawat beberapa buah sekolah aliran Melayu dan Inggeris, mereka berdua membuat laporan bertulis. Laporan tersebut antara lain merumuskan bahawa pelajaran agama yang ada, yang diadakan (secara menumpang) di sekolah-sekolah Melayu dan Inggeris, masanya adalah tidak mencukupi, cuma setengah jam seminggu sahaja.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim berkenan bergambar ramai dengan delegasi Brunei.
Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim berkenan bergambar ramai dengan delegasi Brunei.

“Tentu sahaja berdasarkan laporan yang sangat berterus terang ini, maka pada September 1956, oleh al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, diperkenankanlah penubuhan tujuh buah sekolah agama di Brunei.”

Bertolak dari era penubuhan sekolah-sekolah agama di Brunei inilah, jelas Yang Berhormat Pehin hubungan beliau dengan Brunei mulai terjalin dan semakin rapat, ditambah lagi kemudiannya dengan kedatangan beliau untuk kali kedua pada 1962 selaku pegawai pinjaman daripada kerajaan negeri Johor kepada kerajaan Brunei Darussalam untuk menjawat jawatan Mufti Kerajaan pertama yang julung-julung kali pernah dilantik bagi Brunei Darussalam.

“Mulai dari itu, Brunei pun membuka lembaran sejarah barunya memiliki Mufti. Maka berlakulah apa yang patut berjalan selaku sebuah negeri yang bermufti. Datanglah apa sahaja masalah atau kemusykilan, insyaallah, Mufti sudah ada untuk menjawabnya.

“Maka terang benderanglah negeri, bandar dan kampung dengan adanya Mufti ini. Semua kegelapan yang berkaitan dengan hukum-hakam agama, syarak tidak lagi berbangkit kerana kita sudah ada Mufti, siapa yang berperanan selaku pelita umat.

“Demikian, Pehin Dato Dr Haji Ismail Rahimahullah, terus memainkan peranan beliau dalam menyuluh negeri, bandar dan desa dengan fatwa-fatwa beliau yang tegas bernas lagi menyedarkan,” katanya.

Beliau tidak syak lagi, adalah tokoh besar dan unggul iaitu memiliki kelebihan dan keistimewaan yang semuanya itu dapat dikesan melalui pelbagai segi, seperti keunggulan watak, unggul peribadi, unggul sifat (sifat amanah), unggul ilmu (ilmu yang luas), unggul sikap (sikap yang teguh dan berani) dan unggul semangat (semangat yang sentiasa berkobar-kobar).

Pehin Dato Dr Haji Ismail, katanya lagi adalah juga seorang ulama kreatif berdasarkan catatan dalam daftar fatwa yang ada di Jabatan Mufti Kerajaan, Negara Brunei Darussalam, dari 1962 sehingga beliau meninggal pada 1993, jumlah fatwa yang beliau hasilkan sebanyak 1,753 siri semuanya.

Fatwa beliau, jelasnya jarang yang rengkas tetapi lazimnya panjang-panjang walaupun soalan mungkin dapat dijawab dengan hanya beberapa baris perkataan sahaja, tetapi beliau tidak menjawab pendek melainkan panjang-panjang belaka.

Cara beliau, tidak hanya untuk memberitahu hukum halal atau haram atau makruh atau harus sahaja, tetapi lebih daripada itu.

Menurut Yang Berhormat Pehin, beliau sangat suka memberi nasihat, atau menghiasi fatwa-fatwa beliau dengan nasihat.

“Beliau akan menyulam fatwa-fatwanya dengan nasihat-nasihat yang mampu menyuntik jiwa, seperti betapa makanan yang halal itu boleh memberi kesan kepada kesihatan, kepada akhlak, kepada minda, malah menjamin ketajaman doa selaku senjata.

Satu daripada ciri keunggulan beliau yang sangat ketara, ialah beliau itu tidak pernah ragu-ragu malah tidak pernah takut-takut untuk menyampaikan nasihat kepada siapa sahaja, nasihat demi kerana Allah, kerana menegakkan hukum Syarak, tanpa mengambil kira akan resiko yang mungkin diterima.

Seminar berkenaan telah dirasmikan oleh Sultan Johor sendiri, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Al Marhum Sultan Iskandar.

Selesai majlis perasmian, Duli Yang Maha Mulia telah berkenan berangkat menyaksikan Pameran Tokoh Antarabangsa: Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama (Dr) Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz diadakan bagi memberi peluang kepada rakyat Negeri Johor khasnya dan orang ramai amnya untuk mengenali lebih dekat tokoh berkenaan.

Seminar dan pameran tersebut adalah anjuran bersama Kerajaan Negara Brunei Darussalam dan Kerajaan Negeri Johor Darul Takzim sempena Kemahkotaan Sultan Ibrahim ibni al-Marhum Sultan Iskandar.

ARTIKEL YANG SAMA