Muhamad Ilham Fauzi juara PEDAPIS

Muhamad Ilham Fauzi juara PEDAPIS

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

Gambar oleh Abdul Hakiim Yakof

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jan – Peserta dari Universitas Pendidikan Indonesia, Muhamad Ilham Fauzi mengalahkan lima orang peserta lain untuk merangkul gelaran juara pada peringkat akhir Pertandingan Pidato Pendidikan Islam (PEDAPIS) Peringkat Institusi Pengajian Tinggi Serantau ke-3 sempena Konvokesyen Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), yang berlangsung di Dewan Raya, Radio Televisyen Brunei, hari ini.

Sementara itu, gelaran naib juara disandang oleh Norsyuhada binti Ibrahim dari Institut Pendidikan Guru Bangi, Kuala Lumpur, Malaysia dan tempat ketiga menjadi milik peserta dari Negara Brunei Darussalam, iaitu Awang Abdul Wafi bin Haji Abdul Rahman dari KUPU SB.

Awang Abdul Wafi juga dipilih oleh panel hakim untuk menyandang gelaran Pemidato Terbaik.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman yang dialu-alukan oleh Pemangku Ra’es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Besar serta ahli jawatankuasa penganjur.

Dekan Pelajar KUPU SB, Dr. Haji Noralizam bin Haji Aliakbar ketika menyampaikan ucapan alu-aluan selaku Pengerusi Majlis memaklumkan, pertandingan itu menyaksikan seramai 10 orang peserta yang mewakili tujuh buah institusi pengajian tinggi dari dalam dan luar negara, iaitu Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Institut Teknologi Brunei (ITB), Institut Pendidikan Guru Batu Lintang, Sabah, Malaysia, Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam di Bangi, Malaysia, Universiti Pendidikan Indonesia dan KUPU SB sebagai penganjur pertandingan bagi tahun ini.

Tetamu kehormat menyampaikan hadiah kemenangan kepada juara pertandingan
Tetamu kehormat menyampaikan hadiah kemenangan kepada juara pertandingan

pg05_160116_b

Menurutnya, peringkat separuh akhir telah diadakan pada 13 Januari 2016 di Dewan Tarbiyah, KUPU SB di mana seramai enam orang peserta yang berjaya mara ke peringkat akhir pertandingan yang pertama kali menggunakan format dua segmen.

Segmen pertama dinamakan Pidato Ala Presiden dengan setiap peserta membuat persiapan awal dan penyelidikan hujah-hujah yang diketengahkan dalam pidato masing-masing.

Buat pertama kali bagi tahun ini, penganjur memperkenalkan format kedua yang diberi nama segmen Pidato Interaktif yang mana para peserta diminta memilih salah satu daripada enam sampul surat yang mengandungi soalan berbeza dan memerlukan para peserta menyediakan hujah-hujah bagi soalan yang mereka pilih dan membentangkannya secara spontan kepada para penonton.

Dr Haji Noralizam juga menekankan beberapa objektif pertandingan itu, antaranya untuk melahirkan pemidato yang berkualiti dan berkemampuan tinggi daripada kalangan pelajar institut pengajian tinggi.

Di samping itu, dapat mencungkil bakat-bakat pemidato yang terpendam dalam kalangan pelajar institut pengajian tinggi serta akan mengukuhkan lagi kedudukan dan martabat pendidikan Islam di peringkat serantau.

Hadir sama pada di majlis itu ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud dan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yusof.

ARTIKEL YANG SAMA