Muhammadiyiah tetapkan 17 Julai sebagai 1 Syawal

Muhammadiyiah tetapkan 17 Julai sebagai 1 Syawal

JAKARTA, 9 Julai (Bernama) – Sebuah pertubuhan Islam berpengaruh di Indonesia, Muhammadiyah menetapkan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini pada 17 Julai ini.

Majlis Pimpinan pertubuhan yang mempunyai lebih 40 juta anggota itu mengisytiharkan tarikh 1 Syawal 1436 Hijrah adalah bersamaan 17 Julai iaitu pada Jumaat depan.

Ketua Majlis Tarjih dan Tajdid Muhammadiyah, Syamsul Anwar berkata, pimpinan pusat pertubuhan itu sebulat suara bersetuju dengan kiraan hisab hakiki bahawa anak bulan Syawal akan muncul pada saat matahari terbenam dan bulan berada di atas ufuk pada petang Khamis.

“Menggunakan perhitungan hisab hakiki wujudul hilal yang selama ini menjadi pedoman Majlis Tarjih dan Tajdid, Pimpinan Pusat Muhammadiyah secara rasmi menetapkan 1 Syawal pada hari Jumaat bersamaan 17 Julai 2015,” katanya seperti dipetik oleh media-media tempatan di sini, hari ini.

Tahun ini adalah yang pertama kali bagi Muhammadiyah dan sebuah lagi pertubuhan Islam berpengaruh di Indonesia, Nahdatul Ulama, bersepakat menetapkan hari mula berpuasa pada 18 Jun lepas.

Tahun-tahun sebelumnya pertubuhan Muhammadiyah sering mengisytiharkan tarikh mula berpuasa dan Hari Raya Aidilfitri pada hari berbeza iaitu sehari sebelum tarikh yang diisytiharkan kerajaan.

Syamsul berkata, Mumammadiyah juga memutuskan berdasar perhitungan hisab hakiki wujudul hilal, tarikh Hari Raya Aidiladha iaitu bersamaan 10 Zulhijah ialah pada hari Rabu 23 September depan.

Katanya, hari wuquf di Arafah atau 9 Zulhijah pula dikatakan jatuh pada hari Selasa, 22 September 2015.

“Sampai lima tahun ke depan kemungkinan tidak ada perbezaan penentuan 1 Syawal dan untuk 1 Ramadan juga bersamaan dengan pemerintah pada 17 Jun 2015 lalu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pimpinan Pusat Muhammadiyah, Yunahar Ilyas dipetik oleh media tempatan sebagai berkata pihaknya hanya akan hadir dalam sidang Isbat anjuran kerajaan secara bersyarat.

Katanya, syarat pertama ialah perbincangan menetapkan tarikh Hari Raya Aidilfitri itu hendaklah diadakan secara tertutup dan keduanya kerajaan juga harus menghormati sebarang perbezaan pendapat.