Muhyiddin melampaui batasan – Tengku Adnan

Muhyiddin melampaui batasan – Tengku Adnan

KUALA LUMPUR, 8 Dis – Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat telah melampaui batasan ketika berucap di Kampung Baru semalam dan beliau boleh hilang jawatan parti akibat perbuatan itu.

“Saya meneliti (video) ucapan dari jam 2 hingga 3 pagi ini bersama kakitangan saya. Pastinya, berdasarkan perlembagaan dan etika parti kita, beliau sudah melampaui batasan.

“Saya masih meneliti perkara ini dan akan menyerahkannya kepada jawatankuasa khas UMNO yang akan mengemukakannya kepada Lembaga Disiplin untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita ketika ditanya sama ada Muhyiddin akan dipecat sebagai timbalan presiden UMNO disebabkan ucapan beliau di Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru semalam.

“Saya tidak tahu. Beliau mungkin hilang jawatannya. Ia bergantung kepada keputusan Lembaga Disiplin.”

Bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap timbalan presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap di depan para penyokongnya di Kuala Lumpur malam kelmarin. - AFP
Bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap timbalan presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap di depan para penyokongnya di Kuala Lumpur malam kelmarin. – AFP

Tengku Adnan bercakap kepada pemberita selepas melancarkan program ADINDA, inisiatif terbaru Pergerakan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini hari ini.

Tengku Adnan, yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, berkata Muhyiddin sedia maklum mengenai apa yang tertera dalam perlembagaan parti.

“Dia sendiri tahu dan setuju yang mana kita semua sudah sepakat bahawa apa-apa masalah parti, bincang dalam parti, bukan cerita di luar. Ini semua cerita luar, mana boleh.

“Rahsia parti, kekuatan parti, jangan cerita luar, ini sesama kita sahajalah. Saya sendiri dah cakap semalam, jangan melampaui batasan. Anda boleh berucap tetapi jangan melampaui batasan,” katanya.

Tengku Adnan berkata beliau berasa sedih. “Pertanyaan demi pertanyaan, akhirnya pada kesudahannya, nak minta Presiden letak jawatan. Ini memang gila. Barangkali gila kuasa.”

Semalam, Muhyiddin menghadiri majlis ‘Bersama Timbalan Presiden UMNO’ di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru untuk menyampaikan ucapannya setelah beliau tidak dibenarkan membuat ucapan perasmian ketiga-tiga sayap parti dalam Perhimpunan Agung UMNO 2015 yang bermula hari ini.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. – Bernama