Muhyiddin: ‘Saya tidak akan lepaskan jawatan UMNO’

Muhyiddin: ‘Saya tidak akan lepaskan jawatan UMNO’

MUAR, 7 Ogos (Bernama) – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata beliau tidak akan melepaskan jawatan Timbalan Presiden UMNO kerana apa yang dilakukan selama ini tidak pernah melanggar perlembagaan parti.

“Saya tidak akan meletak jawatan (sebagai Timbalan Presiden UMNO) kerana saya tidak pernah melakukan kesalahan dalam parti.

“Saya tidak pernah menjadi ancaman kepada negara. Saya juga tidak pernah cakap yang boleh melanggar perlembagaan parti. Kalau ada tunjukkan bukti,” katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh di sini, hari ini.

Turut hadir isterinya, Puan Sri Nooraini Abdul Rahman, Timbalan Ketua Umno Bahagian Pagoh Ismail Mohamed, Ketua Wanita UMNO Bahagian Pagoh Senator Datuk Noriah Mahat, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pagoh Zaid Abdul Rahman dan Ketua Puteri UMNO Bahagian Pagoh Rohaizah Ahmad.

Semalam, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Selangor Datuk Jamal Yunus dilaporkan meminta Muhyiddin agar berehat dan melepaskan jawatan sebagai timbalan presiden UMNO. Muhyiddin digugurkan sebagai timbalan perdana menteri dalam rombakan kabinet pada 28 Julai.

Muhyiddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Pagoh juga kecewa apabila ada beberapa UMNO bahagian yang sanggup menarik balik jemputan kepada beliau untuk merasmikan mana-mana mesyuarat UMNO bahagian.

Katanya beliau tidak mempunyai apa-apa rancangan sekali pun untuk menumbangkan kerajaan dan disebabkan itu beliau sebenarnya tidak perlu dianggap sebagai ancaman kepada mana-mana pihak dan negara.

Beliau juga meminta agar semua pihak memberikan ruang kepada badan khas menyiasat isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Muhyiddin juga turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan kepadanya.

ARTIKEL YANG SAMA