MUIB bantu keluarga Dayang Muneerah

MUIB bantu keluarga Dayang Muneerah

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 18 Nov – Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) sentiasa memeduli dan memelihara kesejahteraan dan kebajikan umat Islam yang ditimpa kesusahan, khususnya asnaf fakir miskin.

Sehubungan dengan itu, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud, yang juga Naib Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam telah mengadakan lawatan kerja ke Daerah Belait hari ini.

Lawatan bertujuan untuk meninjau keadaan seorang balu, Dayang Muneerah binti Abdullah yang terpaksa tinggal di penempatan sementara bersama anak-anak dan cucu-cucunya setelah rumahnya di Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Lorong Tiga terlibat dalam kejadian kebakaran pada bulan Ogos 2014.

Dayang Muneerah, 61, bersama 12 orang ahli keluarganya kini ditempatkan di berek Lorong Tiga Seria yang disediakan Jabatan Daerah Belait setelah kejadian berkenaan.

Rombongan berkenaan yang disertai oleh beberapa orang pegawai dari MUIB dan Pejabat Hal Ehwal Ugama Belait, juga bertujuan untuk menyelaras bantuan dan pertolongan daripada seorang Hamba Allah yang bersedia untuk membaik pulih kerosakan-kerosakan rumah Dayang Muneerah yang rosak akibat kejadian kebakaran.

Dayang Muneerah, sebelumnya pernah menerima agihan wang zakat bulanan dan agihan bagi pembayaran tunggakan sewa rumah pada tahun 2012.

“Kami sangat mengambil berat ke atas kes Dayang Muneerah ini, dan berharap supaya ia dapat diselesaikan seberapa segera dan keluarga ini boleh berpindah semula ke rumah mereka setelah siap dibaik pulih nanti,” kata Dato Paduka Haji Abdul Mokti semasa temu bual bersama media.

Usaha dalam membantu golongan susah ini, tidak hanya ditangani oleh agensi kerajaan bahkan juga mendapat perhatian dan kerjasama daripada kalangan masyarakat, untuk itu pembaikan rumah Dayang Muneerah akan turut dilaksanakan menerusi sumbangan ikhlas Hamba Allah yang bermurah hati memberikan bantuan membaik pulih yang akan dilaksanakan dalam waktu terdekat ini.

Dato Paduka Haji Abdul Mokti juga menyeru para penghulu dan ketua-ketua kampung serta ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara supaya sentiasa dapat memantau dan melihat keadaan anak-anak buah mereka, dan jika perlu memberikan nasihat serta panduan kepada mereka.

Lawatan berkenaan telah diteruskan dengan tinjauan ke Pejabat Hal Ehwal Ugama Kuala Belait.

ARTIKEL YANG SAMA