MUIB bantu ringan beban

MUIB bantu ringan beban

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Ogos – Mereka yang ditimpa musibah terus mendapat perhatian dan bantuan daripada pihak yang berkenaan untuk membantu meringankan bebanan mereka.

Sehubungan dengan itu, Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) menyampaikan agihan zakat kepada mangsa kebakaran dan mangsa rumah roboh yang berjumlah $3,400 keseluruhannya di majlis yang berlangsung di Dewan Multaqa, Bangunan Baru, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), hari ini.

Hadir untuk menyempurnakan penyampaian agihan zakat kepada para penerima ialah Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam, Haji Abdul Aziz bin Haji Akop.

Di majlis itu, agihan zakat berupa bantuan kewangan sebanyak $1,600 dan bantuan peralatan persekolahan seperti alat tulis, buku dan beg diserahkan kepada keluarga Awang Nasrul Bahri bin Haji Hasbie Azrol dan tujuh orang tanggungan.

Beliau merupakan mangsa kebakaran C 15, Flat Kampung Anggerek Desa yang berlaku pada 3 Ogos lalu.

Haji Abdul Aziz menyampaikan bantuan peralatan persekolahan kepada salah seorang kanak-kanak.
Haji Abdul Aziz menyampaikan bantuan peralatan persekolahan kepada salah seorang kanak-kanak.
Haji Abdul Aziz ketika menyerahkan bantuan kewangan kepada seorang penerima.
Haji Abdul Aziz ketika menyerahkan bantuan kewangan kepada seorang penerima.

Manakala itu, bantuan turut disampaikan kepada mangsa kejadian rumah roboh di Kampung Bakut Siraja Muda ‘A’ pada 26 Julai, berjumlah $1,800 iaitu Awang Waliyuddin bin Masnoh berserta empat tanggungan menerima $1,000 dan peralatan sekolah, Dayang Nur Sharifatul Wahida binti Mustapha berserta seorang tanggungan menerima $400, Awang Mustapha bin Taha menerima $200 dan Dayang Safawati binti Masnoh menerima $200.

Bantuan kewangan yang dihulurkan itu diambil daripada Kumpulan Wang Zakat Asnaf Fakir Miskin, MUIB. Dengan adanya bantuan yang disampaikan itu, diharap dapat membantu meringankan bebanan yang ditanggung oleh mangsa ditimpa musibah berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA