MUIB hulur bantuan kepada mangsa kebakaran

MUIB hulur bantuan kepada mangsa kebakaran

Oleh Hajah Saemah Kepli

KUALA BELAIT, 14 Feb – Enam buah keluarga yang menjadi mangsa kejadian kebakaran di Daerah Belait telah menerima bantuan berupa wang tunai daripada Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) yang disampaikan pada majlis berlangsung di Dewan Mesyuarat Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Belait di sini.

Para penerima bantuan merupakan mangsa-mangsa kejadian kebakaran yang berlaku baru-baru ini ke atas tiga buah rumah di Kampung Tunggulian, Kampung Sungai Tali dan Kampung Sungai Bakong.

Bantuan tersebut adalah daripada kumpulan Wang Zakat MUIB, disumbangkan sebagai usaha membantu mereka yang ditimpa musibah bagi meringankan bebanan mereka.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian bantuan berkenaan ialah Ketua Pegawai Ugama Daerah Belait, Haji Asminan bin Haji Chuchu.

Gambar atas dan bawah…Haji Asminan ketika menyerahkan sumbangan kepada mangsa-mangsa kejadian kebakaran di Daerah Belait.
Gambar atas dan bawah…Haji Asminan ketika menyerahkan sumbangan kepada mangsa-mangsa kejadian kebakaran di Daerah Belait.

pg10_160215_e

Antara penerima bantuan itu ialah Awang Alias bin Haji Ajak, 59, bujang dan tidak bekerja.

Rumahnya di Kampung Tunggulian ranap dalam kejadian kebakaran yang berlaku pada 27 September 2015, yang memusnahkan semua harta bendanya bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan mangsa kini tinggal sementara di Berek JKR Lumut.

Sementara itu, Haji Abd Razak bin Ismail, dan empat orang tanggungannya serta anak menantunya Awang Mohammed Hamiz bin Johari bersama dua orang tanggungannya, merupakan mangsa kebakaran rumah di Kampung Sungai Tali pada 20 Disember lalu.

Kejadian itu mengakibatkan beberapa buah bilik bahagian atas rumah rosak dan kini mereka semua tinggal di bahagian bawah rumah tersebut.

Sebuah lagi keluarga penerima bantuan ialah Awang Arifin bin Haji Timbang, 36, yang bekerja sendiri, dan kejadian kebakaran yang berlaku pada 22 Disember lalu telah meranapkan rumahnya di Kampung Sungai Bakong Lumut.

Kejadian itu turut menjejaskan dua buah keluarga yang menyewa di rumah berkenaan iaitu Dayangku Maslelawati binti Pengiran Abdul Karim bersama dua tanggungannya dan penyewa kedua Awang Faizal bin Haji Metassan.

ARTIKEL YANG SAMA