MUIB ringankan bebanan hidup

MUIB ringankan bebanan hidup

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Ogos – Dalam membantu meringankan beban kehidupan yang dihadapi oleh golongan daif, fakir dan miskin di negara ini, Majlis Ugama Islam Brunei Darussalam (MUIB) telah menghulurkan bantuan modal berupa sebuah perahu dan enjin serta kelengkapannya kepada Awang Kamal bin Mohd Yatim @ Kamal bin Repul, baru-baru ini.

Penyerahan bantuan modal yang berlangsung di kediaman Awang Kamal di Kampung Bebatik, telah disempurnakan oleh Pemangku Setiausaha MUIB, Haji Abdul Aziz bin Haji Akop.

Bantuan yang diambil daripada peruntukan Kumpulan Wang Zakat MUIB, Asnaf Fakir Miskin berjumlah $17,664 ini diharap akan dapat membantu pemohon untuk berusaha lebih gigih untuk mencari rezeki bagi menyara kehidupan serta keluarga.

Menurut kenyataan MUIB, Awang Kamal, 48, yang tidak mempunyai pendapatan bulanan, mempunyai tanggungan seramai 12 orang, iaitu isteri (tidak bekerja) dan 11 orang anak dengan empat daripadanya masih bersekolah di sekolah menengah, lima di sekolah rendah dan seorang masih belum bersekolah, yang mana mereka sekeluarga tinggal di rumah peninggalan waris.

Awang Kamal menerima bantuan berupa sebuah perahu, enjin berserta kelengkapannya.
Awang Kamal menerima bantuan berupa sebuah perahu, enjin berserta kelengkapannya.

Awang Kamal hanya mengambil upah sebagai buruh bergantung kepada permintaan, selain berusaha turun ke laut bersama kawan beliau yang mana hasil pendapatan tidak menentu itu juga bergantung kepada cuaca.

Beliau juga menerima agihan zakat daripada MUIB sebanyak $1,320 sebulan (Agihan Zakat Keperluan Asasi sebanyak $780 iaitu setiap anak beliau menerima $65 seorang dan Agihan Zakat Persekolahan sebanyak $540 iaitu setiap seorang anak beliau menerima $60 sebulan) selama dua tahun bermula November 2013 sehingga Oktober 2015.

ARTIKEL YANG SAMA